KOTA BELUD: Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menjalankan aktiviti menarik pasir di Kampung Paka-Paka, di sini, semalam.
Mangsa berusia 42 tahun itu ditemukan oleh Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada kira-kira jam 11.20 pagi tadi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Elge Bakuk, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.58 malam Khamis.
Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai sekitar jam 6 petang ketika melakukan kerja menarik pasir menggunakan bot penarik.
“Operasi SAR dijalankan sebaik laporan diterima dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Unit PPDA Zon Kudat.
“Pasukan penyelamat menjalankan pencarian di permukaan air serta operasi selaman di lokasi yang dikenal pasti sebelum mangsa ditemukan pada kedalaman kira-kira lapan meter dari lokasi dipercayai tempat dia terjatuh,” katanya dalam kenyataan.
Elge berkata, operasi hari kedua bermula pada jam 8 pagi dengan pencarian dilakukan menggunakan teknik water surface search and rescue di sepanjang persisiran sungai.
Katanya, pasukan pencarian dibahagikan kepada enam kumpulan, manakala anggota bomba turut memasang pukat sejauh 500 meter dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) hingga ke muara Sungai Kuala Abai.
“Pada jam 10.50 pagi, Unit PPDA menjalankan operasi selaman di lokasi tumpuan sebelum berjaya menemukan mangsa kira-kira 30 minit kemudian.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari,” katanya.
Operasi itu membabitkan anggota daripada JBPM, PDRM, APM dan PBS.

