KOTA KINABALU: Polis menahan tujuh pelajar sekolah menengah bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan yang dipercayai dibelasah dalam insiden yang videonya tular di media sosial sejak semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 3 petang pada Jumaat membabitkan enam pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun.
Menurut beliau, pelajar lelaki berkenaan dipercayai bertindak merakam keseluruhan kejadian tersebut.
“Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, polis dilaporkan membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada mangsa sehari selepas kejadian berlaku.
Hasil siasatan awal mendapati insiden itu berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 22 Mei lalu apabila mangsa dipercayai dipukul oleh lima pelajar perempuan.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, selain lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada bahagian lutut kiri.
Siasatan turut mendapati pelajar-pelajar yang terlibat dipercayai saling mengenali dan berhubung menerusi satu kumpulan WhatsApp yang dikenali sebagai “Angel”.
Kes masih dalam siasatan.

