Saintis UMS temui spesies tumbuhan baharu di Taman Bukit Tawau
15:05 May 29, 2026  |  By SabahKini2
Saintis UMS temui spesies tumbuhan baharu di Taman Bukit Tawau

Spesies yang dinamakan Ardisia condensiflora itu ditemukan di kawasan Taman Bukit Tawau pada 2014 sebelum melalui penelitian saintifik dan kajian taksonomi terperinci bagi mengesahkan statusnya.

TAWAU: Misteri sejenis tumbuhan yang tersimpan tanpa identiti di herbarium sejak 12 tahun lalu akhirnya berjaya dirungkai saintis Universiti Malaysia Sabah (UMS) apabila spesimen berkenaan disahkan sebagai spesies baharu yang hanya ditemukan di Sabah.

Spesies yang dinamakan Ardisia condensiflora itu ditemukan di kawasan Taman Bukit Tawau pada 2014 sebelum melalui penelitian saintifik dan kajian taksonomi terperinci bagi mengesahkan statusnya.

Penemuan berkenaan diterbitkan secara rasmi dalam jurnal taksonomi botani antarabangsa Phytotaxa pada 26 Mei lalu, sekali gus meletakkan spesies itu dalam rekod saintifik dunia sebagai tumbuhan endemik Sabah.

Kajian berkenaan dijalankan penyelidik Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMS, Dr Avelinah Julius bersama Dr Timothy M.A. Utteridge dari Singapore Botanic Gardens dan IBTP, UMS.

Menurut kenyataan IBTP, spesimen terbabit ditemukan di kawasan hutan dipterokarpa pamah campuran yang teduh serta di sepanjang tebing sungai dalam kawasan perlindungan Taman Bukit Tawau.

Katanya, bagi mengesahkan status saintifik spesies itu, penyelidik menjalankan kajian herbarium dan taksonomi secara mendalam menggunakan spesimen yang dipinjamkan daripada Herbarium Taman Sabah.

"Proses ini membuktikan kepentingan koleksi herbarium dan kerjasama institusi dalam usaha merekodkan biodiversiti yang masih tersembunyi," menurut kenyataan itu.

Hasil kajian mendapati Ardisia condensiflora setakat ini hanya direkodkan di Taman Bukit Tawau, sekali gus menjadikannya spesies nadir dan endemik Sabah.

Berdasarkan rekod hanya dua koleksi yang ditemukan, spesies itu dinilai secara awal sebagai Rentan (Vulnerable - VU D2) mengikut kriteria Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) berikutan habitatnya yang sangat terhad.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata penemuan itu membuktikan hutan Sabah masih menjadi antara khazanah biodiversiti paling bernilai di dunia.

"Hutan Sabah kekal menjadi antara makmal hidup paling berharga di dunia. Penemuan seperti ini membuktikan masih banyak lagi yang perlu diterokai, didokumentasikan dan dilindungi," katanya.

Sementara itu, Dr Avelinah berkata, penemuan berkenaan menjadi peringatan bahawa Borneo masih menyimpan banyak spesies yang belum direkodkan oleh sains moden.

"Penerokaan saintifik, penyelidikan herbarium dan usaha pemuliharaan berterusan amat penting bagi memastikan spesies-spesies ini tidak pupus sebelum sempat dikenali," katanya.

Beliau berkata, penerbitan berkenaan adalah hasil kerjasama menerusi Surat Niat (LoI) antara UMS dan Singapore Botanic Gardens, selain sokongan penyelidikan berterusan daripada Taman Sabah melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama IBTP, UMS.

Sejak 2017, Dr Avelinah sudah menyumbang kepada penemuan dan pengesahan sekurang-kurangnya lima spesies baharu Ardisia di rantau ini.

Comment