KOTA KINABALU: Seramai 300 individu, termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama, ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama polis di Dewan SM Lok Yuk, Likas, semalam.
Operasi itu dijalankan ketika berlangsungnya program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 dari 29 hingga 31 Mei, susulan aduan awam yang diterima JHEAINS pada 28 Mei berhubung penganjuran program berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata hasil semakan mendapati program tersebut dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan pada 2007.
Beliau berkata, daripada jumlah yang ditahan, 12 adalah pemimpin dan penganjur utama manakala 288 lagi merupakan ahli jemaah.
“Program ini turut dihadiri kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia serta ahli dari beberapa daerah di Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pihak berkuasa turut merampas 24 kain rentang yang memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi kumpulan berkenaan.
Kira-kira 200 buku serta bahan bacaan berkaitan ajaran itu turut dirampas bersama dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan dan pelbagai dokumen lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan tersebut.
Syed Lot berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.
Katanya, semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh JHEAINS sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan panduan agama daripada sumber yang diiktiraf dan merujuk pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai keraguan terhadap sesuatu ajaran atau fahaman.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam,” katanya.

