Kerjasama kerajaan Persekutuan-Sabah bawa manfaat kepada rakyat
18:06 Jun 02, 2026  |  By SabahKini2
Kerjasama kerajaan Persekutuan-Sabah bawa manfaat kepada rakyat

Ahli Ekonomi, Dr Awang Faisal Assyiffa, berkata peningkatan itu turut membuktikan pendekatan kerjasama yang diamalkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berjaya membawa manfaat kepada rakyat.

KOTA KINABALU: Peningkatan bayaran geran khas interim Sabah kepada RM1.5 bilion setahun disifatkan sebagai bukti hubungan erat serta hasil rundingan berterusan antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam usaha memperkukuh pembangunan Sabah.

Ahli Ekonomi, Dr Awang Faisal Assyiffa, berkata peningkatan itu turut membuktikan pendekatan kerjasama yang diamalkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berjaya membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat.

Beliau berkata, prestasi sesebuah pentadbiran perlu dinilai berdasarkan pencapaian yang dapat dibuktikan melalui data dan hasil nyata, bukan sekadar retorik politik atau polemik semasa.

"Rekod sepanjang enam tahun kebelakangan ini menunjukkan Geran Khas Sabah meningkat hampir 28 kali ganda, daripada RM53.4 juta setahun sehingga 2020 kepada RM1.5 bilion setahun pada 2026.

"Pencapaian ini antara kejayaan fiskal paling signifikan dalam sejarah moden Sabah yang mewujudkan ruang fiskal lebih besar untuk membiayai pembangunan infrastruktur, meningkatkan mutu pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta memperluaskan jaringan utiliti negeri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kenaikan geran khas interim Sabah kepada RM1.5 bilion setahun ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Penampang.

Mengulas lanjut, Awang Faisal berkata peningkatan geran itu turut memberi gambaran terhadap penghargaan Perdana Menteri terhadap gaya kepimpinan Hajiji yang lebih menumpukan kepada tindakan dan hasil.

"Sinergi erat ini membuktikan pendekatan rundingan secara berhemah yang diamalkan Hajiji dihormati oleh Perdana Menteri, sekali gus menterjemahkan persefahaman politik yang tinggi antara kedua-dua pemimpin demi kepentingan Sabah," katanya.

Sementara itu, pemimpin tempatan, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, berkata lonjakan bayaran geran khas interim berkenaan membuktikan kerajaan Persekutuan mempunyai kesungguhan politik untuk bersama kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu berkaitan hak Sabah secara adil dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, peningkatan itu amat bermakna dalam memperkukuh kedudukan kewangan negeri serta mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur kritikal seperti bekalan air bersih, jalan raya, jambatan, pendidikan dan kesihatan.

"Pendirian Hajiji yang mengutamakan kerjasama konstruktif dengan Putrajaya berbanding konfrontasi menunjukkan hubungan baik antara kedua-dua pihak mampu membawa manfaat jangka panjang kepada Sabah," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata penambahan dana fiskal itu dijangka memberi dorongan besar kepada pembangunan sektor pertanian dan agromakanan di seluruh negeri.

Katanya, peruntukan tambahan interim berkenaan membuka ruang lebih luas untuk membiayai pelbagai projek kritikal termasuk peningkatan kemudahan sistem pengairan, penyediaan infrastruktur pertanian luar bandar serta penggunaan teknologi moden dan latihan bagi meningkatkan produktiviti.

"Sektor agromakanan antara pemacu utama ekonomi Sabah dan sokongan berterusan ini amat diperlukan bagi meningkatkan hasil pengeluaran, memperkasa usahawan tani serta melonjakkan pendapatan komuniti peladang di kawasan luar bandar," katanya.

Beliau berkata, langkah memperkukuh dana itu melalui hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi tempatan, malah menjadi pemangkin kepada agenda keselamatan makanan negara.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata geran khas interim RM1.5 bilion itu membawa harapan baharu kepada masyarakat pedalaman untuk menikmati pembangunan yang lebih seimbang.

Beliau berkata, limpahan peruntukan itu wajar disalurkan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek utiliti serta infrastruktur asas luar bandar yang amat diperlukan, terutama jalan raya, jambatan dan bekalan air bersih.

"Rakyat di kawasan pedalaman amat mengharapkan hasil rundingan ini diterjemahkan kepada pembangunan fizikal yang pesat dan perluasan peluang ekonomi tempatan demi meningkatkan taraf hidup masyarakat," katanya.

Yazid turut menyatakan keyakinan bahawa momentum hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan terus membantu memperkukuh rundingan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, usaha berterusan itu penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat terus dinikmati rakyat Sabah.

Comment