KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di beberapa kawasan di Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak sehingga jam 1 pagi Selasa.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 8.30 malam, MetMalaysia memaklumkan amaran itu melibatkan daerah Dungun dan Kemaman di Terengganu.
Di Pahang, kawasan yang dijangka terjejas ialah Kuantan, Pekan dan Rompin, manakala di Johor membabitkan Segamat serta Mersing.
Bagi Sabah, cuaca buruk diramal berlaku di kawasan pedalaman melibatkan Sipitang, Tenom, Beaufort dan Nabawan, selain Papar di Pantai Barat.
Amaran sama turut melibatkan Lahad Datu di Tawau serta beberapa daerah di Sandakan iaitu Tongod, Telupid, Kinabatangan dan Sandakan.
Sementara itu, di Sarawak, kawasan yang dijangka menerima kesan cuaca buruk ialah Bau dan Kuching di Bahagian Kuching, Samarahan dan Asajaya di Bahagian Samarahan, Sri Aman, Song di Kapit serta Lawas di Limbang.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi saluran rasmi agensi itu bagi mengelakkan sebarang risiko akibat keadaan cuaca yang tidak menentu.

