12kg tembaga dipercayai hasil kabel curi dirampas di Pitas
15:06 Jun 04, 2026  |  By SabahKini2
12kg tembaga dipercayai hasil kabel curi dirampas di Pitas

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin, berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan dalam serbuan di Kampung Salimpodon Laut, Pitas, kira-kira 12.30 tengah malam Rabu.

KOTA MARUDU: Seorang lelaki yang dipercayai aktif mencuri kabel milik Sabah Electricity di Pitas ditahan polis bersama 12kg tembaga yang disyaki hasil kupasan kabel curi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin, berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan dalam serbuan di Kampung Salimpodon Laut, Pitas, kira-kira 12.30 tengah malam Rabu.

Katanya, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Marudu hasil maklumat orang awam.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai aktif mencuri kabel milik Sabah Electricity di kawasan Telaga, Pitas.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu beg berisi tembaga seberat 12kg yang dipercayai diperoleh daripada kabel yang dicuri dan belum sempat dijual,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Simiun, suspek yang berasal dari Kampung Maringgan, Pitas kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta awam, manakala permohonan reman akan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Simiun turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada tangkapan itu.

Katanya, kerjasama masyarakat penting dalam membantu polis membanteras kegiatan jenayah dan orang ramai digalakkan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan.

Comment