Dua gempa bumi lemah magnitud 2.9 gegar Sabah, Sarawak
15:06 Jun 04, 2026  |  By SabahKini2
Dua gempa bumi lemah magnitud 2.9 gegar Sabah, Sarawak

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, gempa bumi pertama berlaku di Ranau pada jam 10.36 pagi pada kedalaman 10 kilometer (km).

KUALA LUMPUR: Dua kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 2.9 direkodkan di Ranau, Sabah dan Mambong, Sarawak dalam tempoh 12 jam pada Selasa, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, gempa bumi pertama berlaku di Ranau pada jam 10.36 pagi pada kedalaman 10 kilometer (km).

Menurut beliau, pusat gempa itu berada pada koordinat latitud 6.07 darjah utara dan longitud 116.58 darjah timur.

“Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kundasang, Ranau dan Kota Belud, Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada hari yang sama, satu lagi gempa bumi lemah dengan magnitud 2.9 direkodkan di Mambong, Sarawak pada jam 10.33 malam dengan kedalaman 10 km.

Katanya, pusat gempa kedua itu terletak pada latitud 1.32 darjah utara dan longitud 110.39 darjah timur.

“Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Samarahan dan Serian, Sarawak,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Mohd Hisham menegaskan kedua-dua kejadian itu diklasifikasikan sebagai gempa bumi lemah dan tidak menimbulkan ancaman serius kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, MetMalaysia akan terus memantau aktiviti seismik di kawasan terlibat serta menyalurkan maklumat terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Orang ramai disaran mendapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi yang sahih menerusi saluran rasmi MetMalaysia termasuk laman sesawang, aplikasi myCuaca dan platform media sosial rasmi jabatan, selain menghubungi talian hotline 1300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Comment