Hajiji terima kunjungan hormat pimpinan Kopeks
15:06 Jun 04, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji terima kunjungan hormat pimpinan Kopeks

Perkembangan itu dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi Kopeks di pejabatnya, semalam.

KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) terus mengembangkan perniagaannya menerusi sektor kesihatan dan perkhidmatan pajak gadai Islam dengan pembukaan sebuah lagi cawangan ar-Rahnu di Tawau dalam masa terdekat.

Perkembangan itu dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi Kopeks di pejabatnya, semalam.

Rombongan Kopeks diketuai Pengerusinya, Datuk Dr Haji Saat Ag Damit, bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Buvil Angkui.

Menurut Saat, Kopeks kini turut mengendalikan tiga klinik kesihatan sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan portfolio perniagaannya bagi memberi manfaat kepada anggota dan masyarakat.

Pada pertemuan itu, beliau turut menyampaikan jemputan kepada Hajiji untuk merasmikan Mesyuarat Agung Kopeks yang dijadual berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 18 Jun ini.

Ditubuhkan pada 1963, Kopeks kini mempunyai lebih 7,000 anggota dan bakal menyambut ulang tahun ke-63 penubuhannya tahun ini.

Sementara itu, Hajiji memuji peranan Kopeks dalam melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya membantu murid asnaf, masjid, surau serta golongan kurang bernasib baik di negeri ini.

Dalam kunjungan sama, Kopeks turut menyerahkan naskhah buku bertajuk COMPETENT CEO hasil tulisan Buvil.

Menurut Buvil, buku berkenaan menghimpunkan pengalaman beliau dalam sektor perbankan, kewangan dan pengurusan sepanjang lebih dua dekad menerajui koperasi sebagai CEO.

Katanya, buku itu turut memaparkan pengalaman sebenar beliau bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia dalam usaha memulihkan empat koperasi besar di negara ini.

Turut hadir, Timbalan CEO Kopeks, Dr Yusrina Rantian, dan Pengurus Perniagaan Kopeks, Raihanah Hasanuddin.

Comment