18 lelaki direman bantu siasatan insiden pergaduhan di Kampung Air
17:06 Jun 05, 2026  |  By SabahKini2
18 lelaki direman bantu siasatan insiden pergaduhan di Kampung Air

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati insiden itu berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu sebelum bertukar menjadi pergaduhan.

KOTA KINABALU: Polis menahan 18 lelaki bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan yang berlaku di Kampung Air, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 4 pagi, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dilaporkan cedera di bahagian betis kanan selepas dipercayai ditikam menggunakan objek tajam yang disyaki duri pari ketika berada di sebuah premis makanan di kawasan berkenaan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati insiden itu berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu sebelum bertukar menjadi pergaduhan.

Menurut beliau, mangsa dipercayai diserang oleh beberapa suspek ketika cuba meleraikan pergaduhan tersebut.

"Kira-kira sejam selepas itu, satu lagi pergaduhan dilaporkan berlaku di lokasi sama dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian terdahulu.

"Dalam kejadian kedua, seorang lelaki mengalami kecederaan lebam pada bahagian hidung akibat dipukul," katanya dalam satu kenyataan pada malam Jumaat.

Beliau berkata, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, seramai 18 lelaki berjaya ditahan bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kedua-dua kejadian berkenaan.

Tambahnya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap semua suspek mendapati mereka negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Movendran Apoorvasamy.

Comment