SEMPORNA: Cubaan seorang lelaki menyimpan dan memiliki sejumlah besar petrol tanpa kebenaran gagal apabila dia ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan di Jeti Kampung Air, Pekan Semporna, semalam.
Dalam operasi yang dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), pihak berkuasa merampas sebanyak 675 liter petrol bersama sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dan sebuah enjin sangkut Yamaha 40 kuasa kuda (HP).
Jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, lelaki terbabit yang hanya memiliki sijil kelahiran ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan bagi memiliki atau menyimpan barang kawalan berkenaan.
Menurutnya, nilai rampasan petrol dianggarkan berjumlah RM2,646 manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan enjin sangkut dianggarkan RM5,244.40.
“Susulan penahanan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi di daerah Semporna termasuk kawasan perairan sekitarnya.
“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan barang kawalan,” katanya.
Menurut beliau, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkan maklumat kepada KPDN melalui saluran aduan rasmi bagi membantu usaha penguatkuasaan.

