TAWAU: Siren Sistem Amaran Awal Tsunami di beberapa kawasan pesisir pantai daerah ini dibunyikan pagi tadi susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina.
Bunyi siren berkenaan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang sebelum itu turut merasai gegaran akibat gempa bumi yang berlaku pada jam 7.37 pagi.
Pengaktifan sistem amaran itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan nasihat tsunami membabitkan beberapa kawasan di pantai timur Sabah.
Menurut MET Malaysia, ombak tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk yang berada berhampiran kawasan pesisir pantai dinasihatkan supaya menjauhi pantai, kekal berwaspada serta mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Terdahulu, penduduk di Tawau dan Semporna dilaporkan merasai gegaran selama beberapa saat sehingga menyebabkan perabot dan barangan di dalam rumah bergetar.
Gempa bumi berkenaan dikesan pada koordinat 5.7 darjah utara dan 125.1 darjah timur, kira-kira 97 kilometer di selatan Koronadal City, Filipina, pada kedalaman 50 kilometer.
Sementara itu, agensi keselamatan dan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta menjalankan pemantauan di kawasan pesisir pantai dan lokasi berisiko.
Setakat ini, tiada laporan diterima mengenai kerosakan harta benda, kecederaan atau kejadian luar biasa akibat gempa bumi dan ancaman tsunami berkenaan.
MET Malaysia memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan menyalurkan maklumat terkini sekiranya berlaku sebarang perubahan keadaan.

