MANILA: Jumlah mangsa yang maut akibat gempa bumi bawah laut bermagnitud 7.8 yang melanda Sarangani, Filipina, meningkat kepada 37 orang setakat hari ini.
Pejabat Pertahanan Awam (OCD) Filipina memaklumkan, daripada jumlah itu, 33 kematian direkodkan di Wilayah 12 (Soccsksargen), manakala empat lagi di Wilayah 11 (Davao).
Timbalan Jurucakap OCD, Diego Agustin Mariano, berkata angka berkenaan bagaimanapun masih dalam proses pengesahan dan belum dimuktamadkan.
"Angka ini masih belum muktamad dan sedang disahkan," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 18 lagi kematian yang dilaporkan di Sarangani dan Bandar General Santos masih menunggu pengesahan rasmi, selain tiga kes kematian di South Cotabato.
Setakat ini, OCD belum mengeluarkan laporan rasmi berhubung tahap kerosakan yang berpunca daripada gempa kuat berkenaan.
Sebelum ini, pihak berkuasa melaporkan seramai 144 mangsa cedera, manakala empat lagi masih hilang.
Penilaian awal mendapati Bandar General Santos antara kawasan yang paling teruk terjejas susulan gempa yang berlaku pada jam 7.37 pagi Isnin di Laut Celebes.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina memaklumkan sebanyak 1,055 gegaran susulan direkodkan sehingga jam 7 pagi hari ini, dengan magnitud antara 1.3 hingga 6.7.
Dalam perkembangan berkaitan, OCD berkata kerajaan pusat sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Sarangani bagi menyelaras operasi bantuan dan pemulihan untuk mangsa yang terjejas.
Agensi itu turut memaklumkan penjana elektrik dan bekalan bahan api akan dihantar ke hospital bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diteruskan sepanjang operasi pemulihan dijalankan.

