KENINGAU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) menyasarkan keluasan tanaman avokado di Sabah meningkat kepada 600 hektar menjelang 2035 bagi memperkukuhkan pembangunan industri tanaman bernilai tinggi itu di negeri ini.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar, berkata ketika ini keluasan tanaman avokado di Sabah adalah 318 hektar dengan Keningau muncul sebagai daerah utama pengeluaran apabila merekodkan keluasan 132 hektar melibatkan pelbagai varieti campuran.
Beliau berkata, bagi mencapai sasaran berkenaan, MAFFI akan meluluskan 50,000 bahan tanaman untuk disubsidi kepada pengusaha avokado di seluruh Sabah.
"Usaha memperluaskan tanaman avokado perlu disokong dengan pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran serta pengukuhan rangkaian kerjasama dengan negara yang mempunyai pengalaman luas dalam industri ini.
"Langkah itu penting bagi memastikan industri avokado Sabah terus berkembang dan mampu memberi pulangan ekonomi yang lebih baik kepada pengusaha," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Seminar Jaringan Perkongsian Penanaman Avokado Taiwan-Malaysia di sini, pada Selasa.
Jamawi berkata, seminar berkenaan menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama serta pertukaran ilmu berkaitan teknik penanaman dan pengurusan pasca tuai avokado antara Malaysia dan Taiwan.
Katanya, antara varieti yang kini ditanam di Sabah ialah Avokado QAV1 atau lebih dikenali sebagai Avocado Quoin Sabah yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan secara komersial.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan setiap tahun bagi membolehkan pengusaha tempatan memanfaatkan pengalaman dan teknologi yang dibangunkan oleh pengusaha avokado di Taiwan.
"Perkongsian kepakaran ini mampu mempercepatkan perkembangan industri avokado Sabah selain meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil tempatan," katanya.
Menurut statistik, Taiwan mempunyai keluasan tanaman avokado seluas 2,376 hektar dengan pengeluaran sebanyak 22,599 tan metrik pada tahun lalu.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penanam Durian dan Buah-buahan Tropika Malaysia (MASDA), Duani Evans, merakamkan penghargaan kepada Jamawi atas sokongan berterusan beliau terhadap pembangunan industri buah-buahan tropika serta kesudian menghadiri program berkenaan.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Softwoods Hybrid Fertilizer Sdn Bhd yang menaja program itu serta lebih 60 peserta yang hadir menjayakannya.
Turut hadir ialah delegasi Persatuan Avokado China Taiwan, pegawai Jabatan Pertanian, wakil TF Net, penyelidik serta ahli MASDA.

