TENOM: Sebuah jeti khas untuk nelayan darat bernilai RM200,000 akan dibina di bawah jambatan baharu Pekan Tenom bagi meningkatkan pendapatan penangkap ikan sungai serta mewujudkan tarikan pelancongan baharu di daerah itu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata reka bentuk akhir jeti berkenaan kini sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Ko-Nelayan.
Beliau berkata, projek itu merupakan kemudahan pertama seumpamanya yang memberi fokus khusus kepada nelayan darat di negeri ini.
"Kita mahu membolehkan nelayan darat meningkatkan pendapatan mereka. Jeti ini akan digunakan sebagai tempat mendaratkan hasil tangkapan ikan sungai dengan lebih teratur," katanya ketika ditemui selepas melawat tapak pembinaan jeti berkenaan, di sini.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, pembinaan jeti itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat menerusi bekalan ikan sungai segar yang boleh diperoleh setiap hari.
Menurutnya, kawasan jeti berkenaan juga berpotensi menjadi lokasi jualan ikan sungai yang unik dan mampu menarik kehadiran orang ramai.
"Setiap pagi kita bercadang mengadakan jualan ikan sungai di kawasan ini. Mungkin ini akan menjadi satu tarikan yang sukar ditemui di tempat lain," katanya.
Dalam usaha memperkasa sektor perikanan darat, kerajaan turut menyalurkan bantuan berupa lapan bot lengkap dengan enjin serta peralatan menangkap ikan kepada lapan nelayan darat di daerah itu.
Beliau berkata, bantuan bernilai kira-kira RM120,000 yang disalurkan melalui Jabatan Perikanan itu bertujuan membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan mereka.
"Ini antara usaha untuk memberi pengiktirafan kepada nelayan darat atau penangkap ikan sungai yang selama ini kurang mendapat perhatian," katanya.
Sementara itu, Jamawi berkata kawasan jeti berkenaan turut dirancang sebagai produk pelancongan baharu sebaik projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan di kawasan tersebut siap sepenuhnya.
Katanya, beberapa gerai akan dibina di sekitar kawasan jeti bagi membolehkan pengunjung menikmati suasana santai sambil menyaksikan pemandangan matahari terbenam di bawah jambatan baharu Tenom.
"Kita mungkin mengadakan aktiviti pada waktu petang atau malam supaya penduduk Tenom dan kawasan sekitar dapat menikmati keindahan pemandangan matahari terbenam di sini," katanya.
Beliau berkata, pembangunan kawasan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada nelayan darat, malah dijangka merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui sektor pelancongan dan perniagaan kecil.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerja pembersihan sungai dan parit di daerah itu akan terus dipertingkatkan bagi mengurangkan risiko banjir yang boleh menjejaskan kawasan kediaman serta premis perniagaan.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan sistem saliran berada dalam keadaan baik dan seterusnya mengurangkan impak banjir terhadap penduduk setempat.

