Diesel subsidi RM2.10 seliter seluruh negara bermula Julai, Sabah dan Sarawak tarik nafas lega
18:06 Jun 22, 2026  |  By SabahKini2
Diesel subsidi RM2.10 seliter seluruh negara bermula Julai, Sabah dan Sarawak tarik nafas lega

Pengumuman itu sekali gus menyaksikan Sabah dan Sarawak bukan sahaja mengekalkan subsidi diesel, malah bakal menikmati penurunan harga daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter di bawah mekanisme baharu yang diperkenalkan kerajaan

KOTA KINABALU – Kebimbangan rakyat di Sabah dan Sarawak bahawa pelaksanaan penyasaran subsidi diesel akan menyebabkan mereka kehilangan keistimewaan harga bahan api lebih rendah akhirnya tidak menjadi kenyataan apabila Kerajaan MADANI mengumumkan harga diesel bersubsidi kepada rakyat Malaysia akan diselaraskan pada kadar RM2.10 seliter di seluruh negara bermula Julai ini.

Pengumuman itu sekali gus menyaksikan Sabah dan Sarawak bukan sahaja mengekalkan subsidi diesel, malah bakal menikmati penurunan harga daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter di bawah mekanisme baharu yang diperkenalkan kerajaan.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel itu akan menggunakan mekanisme berasaskan MyKad bagi memastikan subsidi kerajaan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia yang layak.

Menurut beliau, pendekatan tersebut selaras dengan kaedah yang digunakan menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan akan mewujudkan sistem pembelian diesel bersubsidi yang seragam di seluruh negara.

“Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga diesel bersubsidi yang sama dan kaedah pembelian yang sama di seluruh negara, manakala bukan warganegara serta pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,” katanya ketika mengumumkan perkara itu di Bintulu, Sarawak hari ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan susulan berkata, langkah tersebut dilaksanakan ketika ketidaktentuan geopolitik global, khususnya konflik di Asia Barat, terus memberi tekanan kepada pasaran tenaga dunia dan menuntut kerajaan memastikan setiap ringgit subsidi sampai kepada kumpulan sasar.

Menurut MOF, perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga pasaran sebelum ini turut membuka ruang kepada ketirisan serta kegiatan penyeludupan bahan api, termasuk ke luar negara.

Ketika ini, diesel dijual pada harga bersubsidi RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak, manakala harga diesel tanpa subsidi di Semenanjung berada pada paras RM4.37 seliter.

Dengan pelaksanaan mekanisme baharu itu, harga diesel bersubsidi kepada rakyat Malaysia akan diseragamkan pada RM2.10 seliter di seluruh negara, manakala bukan warganegara tidak lagi akan menikmati subsidi yang disediakan kerajaan.

MOF berkata, pendekatan tersebut dijangka meningkatkan kecekapan pengagihan subsidi, mengurangkan ketirisan serta memastikan manfaat subsidi terus dinikmati oleh rakyat yang benar-benar layak.

Pegawai MOF nampaknya mendengar pandangan rakyat dan menasihatkan kerajaan pusat lebih tepat kerana melaksanakan subsidi minyak diesel seluruh negara.

 

1 Comment