KUALA LUMPUR, 22 Jun — Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR) tampil memberikan penegasan serta penafian menyeluruh terhadap dakwaan bahawa Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) mengamalkan kemasukan melalui “pintu belakang”, menjual tempat pengajian serta meminggirkan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
Menurut JKNCR, dakwaan tersebut bukan sahaja tidak berasaskan fakta, malah berpotensi menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap integriti sistem pendidikan tinggi negara yang dibangunkan berasaskan prinsip merit, tadbir urus yang ketat dan piawaian akademik yang diiktiraf.
Kenyataan JKNCR itu dipercayai susulan kontroversi yang tercetus selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra yang juga bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Haim Hilman Abdullah, pada 14 Jun lalu mendakwa IPTA membuka “pintu belakang” kepada golongan berkemampuan untuk memasuki universiti walaupun tidak memenuhi kelayakan sewajarnya. Beliau turut mendakwa terdapat universiti awam yang “menjual tempat” kepada keluarga kaya berikutan kekangan kewangan yang dihadapi institusi berkenaan.
Dakwaan tersebut mengundang reaksi segera daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai tuduhan yang amat serius dan menuntut bukti serta fakta yang sahih untuk menyokong dakwaan tersebut. Menurut beliau, kementerian sentiasa terbuka kepada kritikan dan pandangan membina, namun sebarang tuduhan tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa pembuktian yang jelas.
Susulan itu, UUM turut membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, Kedah. Pihak universiti menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah yang boleh mencemarkan reputasi institusi pendidikan tinggi awam serta menimbulkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara.
JKNCR menegaskan bahawa tidak pernah wujud sebarang amalan “menjual tempat” di universiti awam. Sebaliknya, setiap kemasukan pelajar tertakluk kepada syarat akademik, merit, kapasiti program, keperluan akreditasi serta kelulusan pihak berkuasa universiti yang berkaitan. Semua keputusan kemasukan dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dan bukan berdasarkan kemampuan kewangan mana-mana individu.
Bagi menangkis dakwaan bahawa akses pendidikan tinggi awam semakin mengecil, JKNCR mendedahkan jumlah tawaran kemasukan lepasan STPM dan setaraf ke program Ijazah Sarjana Muda melalui saluran perdana terus meningkat dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini. Tawaran meningkat daripada 79,646 tempat bagi sesi 2023/2024 kepada 79,845 tempat bagi sesi 2024/2025 dan melonjak kepada 88,102 tempat bagi sesi 2025/2026.
Dalam masa yang sama, JKNCR turut menolak dakwaan bahawa saluran terbuka atau saluran khas merupakan “laluan pintu belakang”. Menurut jawatankuasa itu, sistem kemasukan universiti awam tidak hanya bergantung kepada platform UPUOnline semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai saluran yang sah dan diiktiraf termasuk saluran antarabangsa, program profesional, pembelajaran sepanjang hayat, APEL serta program khas yang mempunyai struktur yuran berbeza.
Semua saluran tersebut tetap tertakluk kepada syarat akademik minimum, syarat khas program, kapasiti universiti, kelulusan Senat dan keperluan akreditasi MQA serta badan profesional berkaitan. JKNCR menegaskan bahawa istilah “pintu belakang” yang digunakan bagi menggambarkan saluran-saluran tersebut adalah tidak tepat dan hanya mewujudkan persepsi negatif terhadap universiti awam.
Menyentuh dakwaan bahawa antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki IPTA melalui “pintu belakang”, JKNCR menyifatkan tuduhan itu sebagai serius kerana secara langsung mempertikaikan integriti sistem kemasukan negara. Sehubungan itu, pihak yang membuat dakwaan diminta mengemukakan bukti yang jelas dan terperinci bagi menyokong kenyataan mereka.

JKNCR turut menolak dakwaan bahawa pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dipinggirkan. Data rasmi menunjukkan hampir 79.75 peratus daripada 88,102 pelajar yang menerima tawaran Ijazah Sarjana Muda melalui UPUOnline bagi sesi akademik 2025/2026 terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah. Menurut jawatankuasa itu, angka tersebut membuktikan universiti awam terus memainkan peranan sebagai instrumen mobiliti sosial yang memberi peluang kepada golongan kurang bernasib baik meningkatkan taraf hidup mereka melalui pendidikan.
Selain itu, JKNCR menegaskan kemampuan kewangan bukan faktor yang menentukan penerimaan seseorang pelajar. Bagi program profesional dan kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan, undang-undang, pendidikan dan perakaunan, syarat kemasukan adalah lebih ketat serta tertakluk kepada pemantauan badan profesional dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Dalam aspek kebajikan pula, JKNCR memaklumkan bahawa universiti awam menyediakan 493 insentif kebajikan bernilai lebih RM115 juta bagi tahun 2025 dan 2026. Bantuan tersebut meliputi bantuan pendaftaran, bantuan zakat, biasiswa, dermasiswa, Menu Siswa, Dapur Siswa MADANI, bantuan khas pelajar OKU serta pelbagai skim sokongan lain.
JKNCR turut memberi jaminan bahawa usaha memperluaskan kapasiti kolej kediaman sedang dilaksanakan secara agresif dengan sasaran mencapai kadar penempatan sehingga 80 peratus menjelang tahun 2030 melalui pembinaan dan naik taraf asrama di beberapa universiti awam utama.
Sebenarnya dakwaan berhubung kewujudan "pintu belakang" dalam sistem kemasukan universiti awam bukanlah isu baharu. Pada Disember 2024, Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR) telah mengadakan sidang media khas bagi menyangkal dakwaan serupa yang turut dibangkitkan oleh Dr Haim Hilman Abdullah. Ketika itu, Pengerusi JKNCR, Prof. Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman menegaskan bahawa tiada istilah "pintu belakang" dalam proses kemasukan pelajar ke universiti awam kerana setiap pengambilan dibuat secara telus, melalui sistem saringan yang ketat serta berdasarkan syarat dan kriteria yang telah ditetapkan.
Justeru, kenyataan media JKNCR yang dikeluarkan pada 22 Jun 2026 dilihat sebagai penegasan semula pendirian yang telah dinyatakan sebelum ini, selain menjawab dakwaan terbaharu yang kembali mengaitkan universiti awam dengan amalan menjual tempat pengajian dan meminggirkan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
Sehubungan itu, JKNCR menyeru semua pihak agar membincangkan isu pendidikan tinggi secara bertanggungjawab, berasaskan fakta dan data yang sahih serta mengelakkan naratif yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara. Menurut jawatankuasa itu, pendidikan tinggi merupakan aset strategik negara yang perlu diperkukuh bersama demi kepentingan mahasiswa, institusi dan masa depan Malaysia.

