KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperkukuhkan agenda bioekonomi dan bioteknologi menerusi Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024-2034 yang menjadi kerangka strategik negeri untuk memanfaatkan kekayaan biodiversiti secara mampan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelan tindakan itu bertujuan menjana nilai tambah ekonomi, memperkasa penyelidikan dan inovasi, serta membangunkan industri bioteknologi berasaskan sains.
Katanya, kerajaan negeri turut menghubungkan usaha pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi bagi memastikan sumber biologi dan pengetahuan tradisi dimanfaatkan secara lestari serta memberi manfaat yang adil kepada rakyat.
"Tadbir urus biodiversiti terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif termasuk pendigitalan sistem pengurusan dan perlindungan pengetahuan tradisi bagi memastikan khazanah ini terus terpelihara untuk generasi akan datang," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, pada majlis Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2026 sempena Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia peringkat negeri, semalam.
Hajiji berkata, Sabah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negeri yang memainkan peranan penting dalam agenda pemuliharaan biodiversiti global.
Beliau berkata, kerajaan negeri mewartakan kira-kira 216,000 hektar kawasan baharu sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), sekali gus meningkatkan keluasan kawasan perlindungan kepada 2.227 juta hektar atau 30.06% daripada keluasan tanah Sabah.
Menurutnya, pencapaian itu memenuhi Sasaran 3 Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework yang menetapkan sekurang-kurangnya 30% kawasan daratan, marin dan perairan pedalaman dilindungi menjelang 2030.
Katanya, Sabah juga terus menjadi destinasi utama penyelidikan biodiversiti dengan Hutan DaMaI yang merangkumi Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Kanyon Imbak menjadi hab penyelidikan bertaraf dunia.
"Peningkatan permohonan Lesen Akses Sumber Biologi Negeri Sabah di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 membuktikan Sabah diiktiraf sebagai pusat penyelidikan biodiversiti di rantau ini," katanya.
Beliau berkata, penyelidikan yang dijalankan di Sabah menghasilkan pelbagai penemuan penting termasuk spesies baharu, dokumentasi habitat kritikal dan pendekatan inovatif dalam usaha pemuliharaan.
Dalam perkembangan sama, Hajiji berkata Sabah merekodkan satu lagi pencapaian apabila memeterai Perjanjian Perkongsian Faedah (Benefit Sharing Agreement) pertama antara kerajaan negeri dan Botanickel Sabah Sdn Bhd pada September tahun lalu.
Katanya, projek itu menggunakan teknologi fitoekstraksi melalui tumbuhan hiperakumulator tempatan bagi mengekstrak logam nikel daripada tanah, selain dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, kontrak pertanian jangka panjang dan manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah sebagai pengiktirafan kepada penyelidik tempatan dan antarabangsa yang menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan berkaitan biodiversiti Sabah.
"Saya berharap anugerah ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi yang mampu mengangkat nama Sabah di peringkat antarabangsa, selain menyokong usaha berterusan memulihara dan menggunakan biodiversiti secara lestari," katanya.

