KOTA KINABALU: Aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) kembali beroperasi sepenuhnya selepas mengalami gangguan susulan insiden keselamatan siber yang menjejaskan perkhidmatannya sejak Isnin.
Dalam kenyataan di saluran rasminya hari ini, SSP memaklumkan pengguna kini boleh menggunakan aplikasi itu seperti biasa, termasuk untuk membuat pembayaran parkir.
“Perkhidmatan aplikasi kami kini kembali pulih dan boleh digunakan seperti biasa. Anda kini boleh meneruskan pembayaran parkir anda.
“Sekiranya anda memerlukan sebarang bantuan lanjut, sila hubungi kami melalui saluran ini,” menurut kenyataan itu.
SSP turut merakamkan penghargaan kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama sepanjang tempoh gangguan, selain memohon maaf atas kesulitan yang dialami.
Isnin lalu, aplikasi itu tidak dapat diakses selepas dipercayai digodam, dengan paparan mesej “Hacked by Manusia Spiritual” muncul sebaik aplikasi dibuka.
Insiden itu menyebabkan pengguna gagal membuat pembayaran parkir di kawasan letak kereta kendalian Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Susulan kejadian itu, SSP menutup sementara aplikasi bagi membolehkan kerja pemulihan sistem dan pemeriksaan keselamatan dijalankan.
Menurut SSP, proses pemulihan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan sistem kembali stabil dan selamat sebelum perkhidmatan dipulihkan sepenuhnya.

