KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth (HQE) memohon bantuan orang ramai untuk mengesan waris seorang lelaki yang meninggal dunia dan sehingga kini jenazahnya masih belum dituntut di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.
Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Datuk Dr. Abd Kahar Abd Asis, berkata mendiang dikenali sebagai Lai Vui Hiung, 50, warganegara Malaysia berketurunan Cina dan beragama Buddha.
Beliau berkata, alamat terakhir mendiang direkodkan di MDLB 918, Lorong 1, Taman Pak Tak, Batu 7, 90702 Sandakan.
"Mendiang dimasukkan ke Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital Queen Elizabeth pada 9 Jun sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.21 malam, 11 Jun.
"Sehingga kini, jenazah masih belum dituntut oleh mana-mana waris," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pihak hospital telah membuat laporan polis pada 23 Jun bagi membantu mengesan ahli keluarga atau waris mendiang.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali mendiang atau mengetahui lokasi ahli keluarganya diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak hospital bagi memudahkan urusan tuntutan jenazah.
"Ahli keluarga, waris atau sesiapa yang mengenali mendiang dimohon menghubungi Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth dengan kadar segera.
"Mereka boleh menghubungi talian 088-517555 sambungan 8285 bagi urusan tuntutan jenazah dan tindakan lanjut," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama yang diberikan dalam membantu mengesan waris mendiang.

