MITI sasar lebih banyak pelaburan berkualiti untuk Sabah, Sarawak
19:07 Jul 03, 2026  |  By SabahKini2
MITI sasar lebih banyak pelaburan berkualiti untuk Sabah, Sarawak

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, usaha itu dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, mengekalkan bakat tempatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin Sabah dan Sarawak akan terus menjadi destinasi pelaburan yang berdaya saing menerusi pembangunan industri hiliran berasaskan sumber asli, pengukuhan kawasan industri strategik serta peningkatan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam rantaian bekalan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, usaha itu dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, mengekalkan bakat tempatan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih seimbang serta inklusif.

Menurut kementerian itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus komited menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik (DDI) berkualiti tinggi ke Sabah dan Sarawak, khususnya dalam industri berasaskan sumber asli.

"Pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk menggalakkan pelaburan dalam aktiviti hiliran berasaskan sumber tempatan seperti minyak dan gas, produk logam asas, petrokimia, pemprosesan makanan, produk kayu, produk sawit hiliran, biojisim serta tenaga boleh baharu," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Jumaat.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Edwin Anak Banta (GPS-Selangau) mengenai strategi kerajaan menggalakkan FDI dan DDI dalam industri berasaskan sumber asli di kawasan luar bandar dan pedalaman, khususnya di Sarawak dan Sabah.

MITI memaklumkan, di Sabah, kawasan perindustrian seperti Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu dan POIC Sandakan terus diperkasakan bagi menyokong pembangunan industri hiliran berasaskan minyak dan gas serta komoditi tempatan.

Di Sarawak pula, pembangunan Taman Perindustrian Samalaju dan Koridor Tenaga Boleh Baharu Sarawak (SCORE) terus menjadi pemangkin kepada pelaburan dalam industri logam, bahan termaju, tenaga dan petrokimia.

Selain itu, MITI dan MIDA turut bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerajaan negeri serta pihak industri bagi menyediakan latihan dan program peningkatan kemahiran mengikut keperluan semasa industri.

Menurut kementerian itu, langkah berkenaan bertujuan memastikan belia tempatan mempunyai akses kepada pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan lebih baik dalam sektor strategik, sekali gus mengurangkan penghijrahan ke bandar untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

Comment