Penjawat awam kunci kejayaan pelaksanaan SMJ 2.0
17:07 Jul 07, 2026  |  By SabahKini2
Penjawat awam kunci kejayaan pelaksanaan SMJ 2.0

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, berkata kejayaan sesebuah kerajaan tidak hanya diukur melalui dasar atau pelan yang dirangka, tetapi sejauh mana pelaksanaannya mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.

KOTA KINABALU: Kejayaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bergantung kepada kekuatan, komitmen dan keupayaan penjawat awam untuk bergerak sebagai satu pasukan dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, berkata kejayaan sesebuah kerajaan tidak hanya diukur melalui dasar atau pelan yang dirangka, tetapi sejauh mana pelaksanaannya mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata budaya bekerja secara berasingan atau silo mentality perlu ditinggalkan dan digantikan dengan pendekatan kolaboratif antara kementerian, jabatan dan agensi.

“Kerjasama strategik perlu diperkukuhkan antara kementerian dan agensi di peringkat negeri serta Persekutuan, selain memperluaskan sinergi bersama sektor swasta, akademia dan komuniti supaya setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih terselaras, cekap dan berimpak,” katanya ketika merasmikan Program Sankalpa Sabah 2030: Forum Pelaksanaan Strategik SMJ 2.0 di Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya, komunikasi strategik turut perlu diperkasakan melalui pelaporan prestasi yang telus, penggunaan sistem pemantauan dan perkongsian data bagi memastikan setiap dasar dapat dipantau serta ditambah baik secara berterusan.

Zainudin berkata, SMJ 2.0 turut mengiktiraf pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemangkin utama bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan awam.

Katanya, pengalaman pelaksanaan SMJ 1.0 membuktikan dasar yang jelas dan pelaksanaan berkesan mampu memberi manfaat kepada rakyat, manakala dalam SMJ 2.0, petunjuk prestasi utama (KPI) akan diukur berdasarkan impaknya terhadap kesejahteraan rakyat, bukan sekadar pencapaian pelaporan.

Beliau turut memaklumkan beberapa persetujuan dicapai hasil pertemuannya dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, termasuk pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dalam pengurusan projek bagi mempercepatkan proses pelaksanaan pembangunan di Sabah.

Selain itu, cadangan mewujudkan hampir 300 jawatan membabitkan 26 agensi di bawah pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipersetujui tanpa memerlukan Audit Kendiri Perjawatan dan Organisasi (AKPO).

Katanya, Mesyuarat Perhubungan Antara Negeri dan Persekutuan juga akan diadakan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi membincangkan status pelaksanaan serta penyelesaian projek pembangunan.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua kementerian dan jabatan negeri memperkukuh pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi, mengintegrasikan AI dalam proses kerja serta menyelaraskan pelan strategik masing-masing dengan Hala Tuju SMJ 2.0 bagi memastikan pelaksanaan yang lebih pantas, cekap dan memberi impak kepada rakyat.

Comment