TAWAU: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah ditahan bersama 50.35 gram syabu dalam Operasi Tapis Bersepadu Bilangan 1/2026 di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, di sini.
Operasi selama dua hari bermula 7 hingga 8 Julai itu turut menyaksikan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan serta 31 individu diberkas atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan ketum.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt, berkata operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa.
Katanya, seramai 169 pegawai dan anggota daripada PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin dan Sabah Electricity Sdn Bhd terbabit dalam operasi berkenaan.
"Polis turut menahan seorang lagi individu kerana memiliki 0.24 gram syabu, manakala seorang suspek diberkas selepas dipercayai memiliki sembilan liter cecair ketum dan 2,351.65 gram serbuk ketum," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, 28 lagi individu ditahan kerana disyaki menyalahgunakan dadah selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka positif.
"Seramai 36 individu menjalani ujian saringan air kencing dan 28 daripadanya didapati positif dadah," katanya.
Menurutnya, 30 PATI yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang imigresen.
Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan Tawau mengeluarkan 66 saman dan notis atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi dijalankan.
Wilynton berkata, polis akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah, selain meningkatkan pematuhan undang-undang demi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam.

