Inkues Zara Qairina: Tiada bukti kukuh mangsa cenderung bunuh diri
16:07 Jul 13, 2026  |  By SabahKini2
Inkues Zara Qairina: Tiada bukti kukuh mangsa cenderung bunuh diri

Pakar psikologi kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap profil perkembangan Zara sejak lahir sehingga berusia 13 tahun.

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini pada Isnin diberitahu bahawa remaja, Zara Qairina Mahathir, 13, bukan seorang kanak-kanak yang secara konsisten menunjukkan corak kemurungan serius, pengasingan diri, hilang harapan atau mempunyai niat untuk membunuh diri.

Pakar psikologi kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap profil perkembangan Zara sejak lahir sehingga berusia 13 tahun.

Menurut beliau, hasil analisis yang dijalankan bagi menyediakan laporan profil autopsi psikologi mendapati tiada sejarah jelas percubaan bunuh diri oleh remaja berkenaan sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di bangunan asrama pada 16 Julai tahun lalu.

"Dalam konteks teori psikologi berkaitan risiko bunuh diri, penilaian perlu melihat sama ada wujud rasa tidak diterima, rasa menjadi beban, kemampuan mencederakan diri secara serius serta gabungan faktor akut yang meningkatkan risiko.

"Dalam kes Zara, data yang tersedia tidak menunjukkan secara kukuh bahawa keseluruhan elemen itu wujud secara konsisten dan dominan sebelum kejadian," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian remaja itu di sini, pada Isnin.

Dr Noor Aishah, yang juga kaunselor berdaftar dan mempunyai pengalaman hampir 18 tahun, merupakan saksi ke-76 dalam prosiding inkues berkenaan.

Beliau berkata, pendekatan Psychological Autopsy digunakan bagi menyediakan laporan profil autopsi psikologi Zara, iaitu kaedah penilaian retrospektif dalam bidang psikologi forensik untuk memahami keadaan mental, emosi, sosial, tingkah laku, hubungan interpersonal, faktor persekitaran serta faktor psikologi seseorang sebelum kematian.

Katanya, laporan itu bertujuan menilai sama ada terdapat asas psikologi yang kukuh untuk menyokong bahawa Zara mempunyai kecenderungan, niat atau keadaan psikologi yang konsisten dengan perbuatan menamatkan nyawa sendiri.

"Saya juga menilai faktor psikologi, sosial, keluarga, persekitaran sekolah, hubungan rakan sebaya, pengalaman di asrama, catatan peribadi, komunikasi telefon serta maklumat saksi yang relevan bagi membantu mahkamah memahami keseluruhan konteks kehidupan Zara sebelum kejadian," katanya.

Menurut beliau, antara bahan yang diteliti termasuk gambar, video, diari, catatan peribadi, dokumen sekolah, laporan psikologi dan psikiatri, laporan pemeriksaan tulisan tangan, laporan forensik dokumen serta transkrip perbualan telefon antara Zara dengan ibunya, Noraidah Lamat.

Selain itu, temu bual turut dijalankan bersama ibu mangsa, ahli keluarga, pengasuh, jiran, rakan sekolah rendah dan menengah, guru serta warden yang mempunyai hubungan rapat atau pengetahuan langsung mengenai kehidupan Zara.

Beliau berkata, profil psikologi Noraidah turut dibangunkan memandangkan wanita itu merupakan individu paling rapat dengan Zara serta mempunyai pengetahuan mendalam mengenai perkembangan kognitif, emosi, sosial, tingkah laku, minat, rutin harian dan pengalaman hidup anaknya.

Dr Noor Aishah berpandangan bahawa data yang diperoleh lebih menyokong keperluan untuk meneliti secara berhati-hati faktor luaran, situasional dan hubungan interpersonal yang berlaku di persekitaran sekolah serta asrama sebelum kejadian, berbanding membuat kesimpulan bahawa kematian Zara berpunca daripada konflik keluarga atau masalah psikologi dalaman semata-mata.

Beliau turut menegaskan hubungan antara Zara dan ibunya tidak wajar dilihat sebagai faktor utama secara berasingan kerana secara keseluruhannya ia menunjukkan elemen kelekatan, kasih sayang, sokongan emosi dan komunikasi yang terbuka.

"Dalam penilaian saya, adalah tidak tepat untuk membuat kesimpulan psikologi berdasarkan satu kategori bahan sahaja seperti catatan tertentu tanpa mengintegrasikan keseluruhan data perkembangan, temu bual, transkrip panggilan, pemerhatian saksi, sejarah sekolah, sejarah keluarga, faktor perlindungan dan faktor situasional hampir dengan kejadian.

"Kesimpulan profesional saya ialah profil psikologi Zara secara keseluruhannya menunjukkan seorang kanak-kanak dan remaja awal yang ceria, sosial, aktif, penyayang, pemurah, bermotivasi, mempunyai aspirasi serta mempunyai hubungan rapat dengan ibunya.

"Walaupun Zara mempunyai sensitiviti sosial dan berdepan cabaran perkembangan remaja seperti konflik rakan sebaya, kecemburuan dalam persahabatan, tekanan kehidupan di asrama serta beberapa tingkah laku maladaptif yang bersifat situasional, faktor-faktor itu tidak mencukupi untuk menyokong kesimpulan bahawa beliau mempunyai niat membunuh diri yang stabil atau terancang," katanya.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira jam 4 pagi.

Comment