KOTA KINABALU: Bau kurang menyenangkan yang dihidu penghuni sebuah rumah sewa di Sadong Jaya di sini membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki berusia 31 tahun di dalam sebuah bilik yang berkunci pada malam Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.25 malam bagi membantu membuka pintu bilik yang dikunci dari dalam.
Menurutnya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.
"Sebaik tiba di lokasi, pasukan dimaklumkan terdapat seorang lelaki berada di dalam bilik yang berkunci dan tidak memberikan sebarang tindak balas.
"Penghuni rumah turut memaklumkan mereka menghidu bau kurang menyenangkan dari bilik berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, anggota bomba terpaksa memecahkan sebahagian dinding bilik bagi mendapatkan akses sebelum berjaya membuka pintu.
"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurut beliau, operasi ditamatkan pada jam 9.50 malam selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi adalah selamat.
Kes kini disiasat pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

