SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup 360 liter petrol bersubsidi selepas menahan sebuah bot di perairan Sungai Sabine, semalam.
Bagaimanapun, dua lelaki dipercayai kru bot berjaya meloloskan diri dengan terjun ke kawasan bakau sebelum melarikan diri ke dalam hutan sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.
Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Suhairy Hussain, berkata bot itu dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.05 batu nautika di barat laut Sungai Sabine ketika rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0.
"Hasil pemeriksaan menemui 18 jerican dipercayai mengandungi 360 liter petrol bersubsidi. Turut dirampas dua enjin sangkut berkuasa 40 kuasa kuda dan 15 kuasa kuda," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, bot bersama muatan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran yang sah.
Bot berkenaan juga dipercayai melanggar Peraturan 12 Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana menyalahgunakan lesen dengan membawa barangan kargo.
Suhairy berkata, keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM23,300 dan telah dibawa ke Jeti Maritim Zon Sandakan untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, cubaan sindiket menjalankan penyeludupan pada waktu siang menunjukkan mereka sentiasa mencari peluang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang menjejaskan keselamatan negara serta menyebabkan ketirisan barang kawalan bersubsidi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau 999.

