SANDAKAN: Tiga individu termasuk dua kanak-kanak perempuan cedera selepas rumah yang didiami mereka di Kampung Gum-Gum Kecil, di sini, dihempap sebatang pokok tumbang pada malam Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Jimmy Lagung berkata mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 47 tahun serta dua kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.04 malam sebelum menggerakkan sepasukan enam anggota ke lokasi yang terletak kira-kira 23 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.
"Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati bahagian dapur rumah mengalami kerosakan selepas dihempap pokok tumbang.
"Kerosakan dianggarkan kira-kira 40 peratus di bahagian dapur rumah, manakala ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jimmy, anggota bomba kemudian memotong pokok tumbang menggunakan gergaji berantai sebelum mengalihkan sisa pokok ke kawasan selamat bagi mengelakkan sebarang risiko kepada penduduk.
Beliau berkata operasi ditamatkan pada 9.10 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.

