SMJE salur RM89.46 juta kepada Sabah, termasuk dividen RM50 juta
17:07 Jul 21, 2026  |  By SabahKini2
SMJE salur RM89.46 juta kepada Sabah, termasuk dividen RM50 juta

SMJE turut menyumbang RM1 juta kepada Tabung Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dan RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) menyalurkan RM89.46 juta kepada kerajaan negeri Sabah, termasuk dividen RM50 juta bagi tahun kewangan berakhir 2025 dan Cukai Jualan Negeri (CJN) sebanyak RM37.96 juta.

Penyerahan itu disaksikan Ketua Menteri Hajiji Noor di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMJE, Dr Dionysia Kibat, menyerahkan replika cek kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Mohd Sofian Alfian Nair.

SMJE turut menyumbang RM1 juta kepada Tabung Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dan RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurut syarikat itu, pembayaran dividen dibuat daripada rizab boleh agih yang disokong kedudukan kewangan dan aliran tunai yang kukuh.

Sejak 2023, SMJE telah membayar dividen terkumpul sebanyak RM210 juta kepada kerajaan negeri.

Setakat 31 Dis 2025, aset kumpulan itu berjumlah RM4.82 bilion, manakala keuntungan selepas cukai direkodkan sebanyak RM58.7 juta.

Hajiji berkata, pembayaran dividen dan CJN itu mencerminkan prestasi kewangan mampan SMJE serta menunjukkan kejayaan syarikat milik kerajaan negeri itu dalam meningkatkan penyertaan Sabah dalam sektor minyak dan gas.

Beliau berkata, sumbangan CSR berkenaan turut membuktikan komitmen syarikat terhadap pembangunan modal insan dan kebajikan sosial di negeri itu.

Sementara itu, Pengerusi SMJE yang juga Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun, berkata syarikat akan terus mengurus pelaburan strategik negeri secara berhemah bagi memastikan pulangan mampan dan manfaat jangka panjang kepada Sabah.

Comment