Lapan ditahan, rampasan lebih RM52,000 dalam operasi JKDM Sabah
15:07 Jul 28, 2026  |  By SabahKini2
Lapan ditahan, rampasan lebih RM52,000 dalam operasi JKDM Sabah

Beliau berkata, pihaknya juga mengesan pemilik tempatan yang disyaki mengalibabakan lesen perniagaan kepada warga asing bagi membolehkan premis beroperasi dan menjual barangan tidak berkastam.

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras penjualan rokok seludup dan minuman keras tidak berkastam, termasuk mengesan penyalahgunaan lesen perniagaan oleh warga asing.

Pengarah Kastam Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman, berkata operasi khas yang dijalankan di sekitar Putatan dan Kota Kinabalu turut mengesan modus operandi segelintir warga Pakistan yang dipercayai menggunakan lesen perniagaan milik warga tempatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

Beliau berkata, pihaknya juga mengesan pemilik tempatan yang disyaki mengalibabakan lesen perniagaan kepada warga asing bagi membolehkan premis beroperasi dan menjual barangan tidak berkastam.

"Pemeriksaan dijalankan secara teliti bagi mengesan barangan yang tidak dijelaskan duti dan cukai, selain mengenal pasti penyalahgunaan lesen perniagaan oleh warga asing.

"Minuman keras dan rokok tertakluk kepada duti kastam serta cukai jualan yang wajib dijelaskan sebelum dipasarkan. Setiap produk yang cukainya sudah dijelaskan perlu dilekatkan setem cukai yang dikeluarkan JKDM," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi khas penguatkuasaan yang dijalankan di Putatan dan Kota Kinabalu.

Ahmad Taufik berkata, penjualan barang tidak berkastam adalah kesalahan jenayah di bawah Akta Kastam 1967 dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

Katanya, dalam operasi di Putatan pada 14 Julai lalu, JKDM merekodkan lima kes membabitkan empat tangkapan, masing-masing dua warga Pakistan dan dua warga Filipina.

"Turut dirampas ialah 12,760 batang rokok, 1,046.26 liter minuman keras jenis bir dan 31.2 liter minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam.

"Nilai barang rampasan dianggarkan RM12,342.02, manakala jumlah duti dan cukai sebanyak RM24,376.90, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM36,718.92," katanya.

Beliau berkata, operasi susulan di Kota Kinabalu pada 20 Julai lalu pula membawa kepada penahanan empat lelaki membabitkan seorang warga tempatan dan tiga warga Pakistan.

Katanya, sebanyak 14,424 batang rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki tidak berkastam turut dirampas dengan nilai barang RM4,618.60 serta duti dan cukai berjumlah RM11,399.38.

"Secara keseluruhan, kedua-dua operasi merekodkan sembilan kes dengan lapan tangkapan, manakala nilai keseluruhan barang rampasan bersama duti dan cukai mencecah RM52,736.90," katanya.

Ahmad Taufik berkata, semua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000, dipenjarakan antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, beliau berkata, JKDM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan, penjualan rokok dan minuman keras tidak berkastam serta penyalahgunaan lesen perniagaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan diminta menyalurkannya kepada JKDM melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), pejabat kastam berhampiran atau talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.

"Kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu membanteras kegiatan ini yang bukan saja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah menjejaskan integriti sistem perdagangan dan perniagaan yang sah," katanya.

Comment