PAPAR: Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bernilai RM70.6 juta dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur jalan raya di negeri ini.
Menurut beliau, Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar kini berkembang pesat dengan pertambahan kawasan perumahan, premis kerajaan, sekolah serta produk pelancongan yang menyumbang kepada peningkatan jumlah trafik terutama pada waktu puncak.
"Sebagai kerajaan, kita sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut di sini pada Selasa.
Beliau berkata, projek sepanjang 1.3 kilometer itu melibatkan penaiktarafan jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik.
Katanya, selain pelebaran jalan, projek berkenaan turut merangkumi pembinaan jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas serta tempat perlindungan motosikal bagi meningkatkan keselamatan pengguna.
Hajiji turut memberi jaminan kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh dalam urusan pengambilan tanah dan pengalihan utiliti bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
"Kita tidak mahu kerenah birokrasi menjadi penghalang kepada pelaksanaan projek yang amat penting ini. Kerjasama erat antara agensi Persekutuan dan negeri perlu diperkukuhkan bagi memastikan kejayaannya," katanya.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur jalan raya yang cekap dan selamat bukan sahaja meningkatkan mobiliti rakyat, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi, pelaburan serta sektor pelancongan.
Menurutnya, projek itu dijangka mengurangkan masa perjalanan, meningkatkan kesalinghubungan dan merancakkan aktiviti ekonomi di Papar selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Tambah beliau, Papar kini menunjukkan perkembangan pesat hasil pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan komersial, selain berpotensi menjadi lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak apabila Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya.
Pada majlis sama, Hajiji turut mengumumkan kelulusan Projek Jambatan Papar Ke-2 serta Projek Kerja Kecemasan Penambakan Batu dan Tanah di sepanjang tabing Sungai Intake Kogopon dan kerja-kerja perlindungan tebing sungai yang dipohon Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, bagi meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan penduduk di daerah itu.

