Sabah jalin kerjasama dengan IJN tambah tenaga pakar Kesihatan
17:07 Jul 30, 2026  |  By SabahKini2
Sabah jalin kerjasama dengan IJN tambah tenaga pakar Kesihatan

Hajiji berkata pada masa ini seramai 15 anak Sabah sedang mengikuti Program Pembantu Perawatan Pesakit di Kolej Universiti IJN menerusi inisiatif yang diselaraskan Yayasan Sabah melalui University College Sabah Foundation.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperluaskan peluang pendidikan dalam bidang penjagaan kesihatan menerusi kerjasama strategik antara Yayasan Sabah, Institut Jantung Negara (IJN) dan Kolej Universiti IJN bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam sektor berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata seramai 30 anak Sabah akan dipilih mengikuti program pembangunan bakat dalam bidang penjagaan kesihatan tahun ini, meliputi kursus Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan, Diploma Fisioterapi serta Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular.

Beliau berkata program itu dilaksanakan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Kumpulan Yayasan Sabah, IJN dan Kolej Universiti IJN pada April lepas.

"Usaha ini selaras dengan keperluan Sabah untuk menambah tenaga mahir dalam sektor kesihatan, selain membuka lebih banyak peluang kepada anak Sabah mengikuti latihan profesional dalam bidang kritikal yang dijangka terus mendapat permintaan tinggi pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji berkata pada masa ini seramai 15 anak Sabah sedang mengikuti Program Pembantu Perawatan Pesakit di Kolej Universiti IJN menerusi inisiatif yang diselaraskan Yayasan Sabah melalui University College Sabah Foundation.

Menurut beliau, program itu sekali gus memperluaskan akses kepada latihan kemahiran kesihatan yang berkualiti kepada anak negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM100 juta bagi membiayai Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) pada tahun ini yang memberi manfaat kepada ribuan pelajar di pelbagai peringkat pengajian, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Beliau berkata sehingga kini seramai 13,389 pelajar telah menerima tajaan BKNS, sejajar komitmen kerajaan negeri untuk memastikan lebih ramai anak Sabah memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti.

Comment