DBKK gempur premis spa, bongkar kegiatan pelacuran
17:07 Jul 31, 2026  |  By SabahKini2
DBKK gempur premis spa, bongkar kegiatan pelacuran

Dalam operasi yang berlangsung dari jam 10 malam hingga 3 pagi itu, seramai 10 wanita warga Vietnam ditahan selepas disyaki menyalahgunakan premis berkenaan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral.

KOTA KINABALU: Kegiatan pelacuran yang dipercayai berselindung di sebalik operasi beberapa premis spa dan pusat urut di Asia City di sini terbongkar menerusi Operasi Bersepadu Ops Sapu yang dijalankan pelbagai agensi penguat kuasa pada malam Khamis.

Dalam operasi yang berlangsung dari jam 10 malam hingga 3 pagi itu, seramai 10 wanita warga Vietnam ditahan selepas disyaki menyalahgunakan premis berkenaan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral.

Operasi berkenaan diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Mohd Haniff Abdullah.

Menurut beliau, sebanyak lima premis dan sebuah kawasan awam di sekitar Asia City diperiksa hasil risikan serta maklumat awam berhubung kegiatan persundalan yang dipercayai beroperasi di sebalik premis spa dan rumah urut.

"Ketika serbuan dijalankan, beberapa premis dipercayai menutup operasi lebih awal selepas menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.

"Penghuni premis turut bertindak bersembunyi di dalam bilik masing-masing bagi mengelakkan dikesan, namun tindakan itu gagal apabila anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu membuka pintu premis yang berkunci selepas penghuni enggan memberikan kerjasama," katanya.

Beliau berkata, seramai 55 individu telah diperiksa dengan 12 daripadanya ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 10 wanita warga Vietnam ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas yang sah.

"Selain itu, tiga individu diberikan amaran oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah, manakala dua premis dikenakan kompaun oleh Jabatan Pelesenan kerana melanggar syarat lesen.

"Lima premis lagi turut didapati melakukan pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa," katanya.

Operasi bersepadu itu melibatkan 86 anggota daripada DBKK, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kesihatan Bandar dan Luar Bandar, Jabatan Pelesenan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), JBPM serta Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah.

Mohd Haniff berkata, operasi berkenaan membuktikan kerjasama erat antara semua agensi penguat kuasa dalam membanteras kegiatan persundalan yang berselindung di sebalik premis refleksologi.

Katanya, operasi yang dirancang sejak sekian lama itu turut berjaya membongkar sindiket yang dipercayai didalangi warga asing termasuk dari Vietnam, Thailand dan Filipina.

"Operasi ini dianggap berjaya hasil kerjasama semua agensi yang terlibat. Kerjasama seumpama ini akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan.

"Ops Sapu menyasarkan premis refleksologi yang disalahgunakan untuk menjalankan aktiviti persundalan yang didalangi warga asing," katanya.

Tambah beliau, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan persundalan, penyalahgunaan lesen perniagaan serta pelanggaran undang-undang imigresen, sekali gus memastikan semua premis perniagaan di ibu negeri mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Comment