Juruterbang ditahan di lapangan terbang Jakarta, didakwa cuba seludup 25kg dadah
17:07 Jul 31, 2026  |  By SabahKini2
Juruterbang ditahan di lapangan terbang Jakarta, didakwa cuba seludup 25kg dadah

Pemeriksaan lanjut menemui 15 bungkusan mengandungi 70,114 kapsul yang dipercayai mengandungi dadah jenis ekstasi dan methamphetamine.

KUALA LUMPUR: Seorang juruterbang Malaysia Airlines ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup 25kg dadah ke negara itu menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.

Media Indonesia melaporkan suspek berusia 39 tahun itu ditahan pada Selasa lalu selepas pegawai kastam mengesan objek mencurigakan dalam bagasinya ketika pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas.

Pemeriksaan lanjut menemui 15 bungkusan mengandungi 70,114 kapsul yang dipercayai mengandungi dadah jenis ekstasi dan methamphetamine.

Pengarah Pencegahan Jenayah Narkotik Polis Republik Indonesia (POLRI), Brigedier Jeneral Eko Hadi Sontoso, berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima bayaran kira-kira RM50,000 bagi membawa bekalan dadah itu dari Kuala Lumpur ke Jakarta.

Menurutnya, dadah berkenaan dihantar oleh seorang individu di Malaysia sebelum dijadualkan diserahkan kepada individu lain di sebuah hotel di Jakarta.

"Pasukan penyiasat sedang mengesan individu yang dipercayai terbabit dalam rangkaian sindiket ini di Malaysia dan Indonesia berdasarkan keterangan yang diberikan suspek," katanya seperti dipetik Kompas.com dan CNN Indonesia.

Eko berkata polis tidak menolak kemungkinan sindiket itu mempunyai rangkaian antarabangsa.

Beliau turut memaklumkan suspek didapati positif dadah dan mengaku ini adalah kali ketiga terbabit dalam kegiatan penyeludupan.

Menurut pengakuannya, suspek sebelum ini pernah menyeludup dadah ke Sabah dan kemudian membawa kira-kira 7kg methamphetamine ke Jakarta.

Suspek kini ditahan di Pusat Tahanan POLRI dan disiasat mengikut undang-undang berkaitan pemilikan, pengimportan, pengedaran serta konspirasi mengedar dadah dalam kuantiti besar.

Comment