SEMPORNA: Polis Sabah menahan sepasang suami isteri selepas merampas 254.35kg syabu dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Semporna pada 13 Julai lalu, dalam operasi yang dipercayai membongkar rangkaian sindiket dadah antarabangsa.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata serbuan kira-kira 4 pagi itu dijalankan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan Kunak hasil risikan.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan 24 beg pakaian mengandungi syabu seberat 254.35kg.
“Dua individu yang juga pasangan suami isteri ditahan bagi membantu siasatan, manakala seorang lagi suspek sedang dikesan.
“Rampasan ini dianggarkan boleh menampung sehingga 726,714 kali penggunaan,” katanya pada sidang media di IPD Semporna.
Menurut Jauteh, siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa dan dipercayai akan diseludup keluar dari Sabah.
“Hasil soal siasat menunjukkan bekalan dadah dipercayai memasuki Sabah melalui laluan sempadan Sipitang dan mempunyai kaitan dengan kawasan Segi Tiga Emas melibatkan Myanmar, Thailand dan Laos,” katanya.
Dalam operasi berasingan di Tawau pada 12 Julai lalu, polis turut merampas 74.886kg dadah selepas menyerbu sebuah kereta di Jalan Tun Hamdan kira-kira 10.30 malam.
Jauteh berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau dan Kunak.
“Pemeriksaan menemui empat beg berisi dadah seberat 74.886kg, termasuk tiga beg sukan golf dan sebuah beg hitam.
“Empat individu berusia antara 24 hingga 40 tahun, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita, turut ditahan,” katanya.
Beliau berkata, dua daripada suspek ialah warga tempatan manakala dua lagi bukan warganegara. Semua mereka didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif dadah.
Secara keseluruhan, nilai rampasan daripada kedua-dua operasi dianggarkan hampir RM18 juta.
Jauteh berkata, kejayaan itu dipercayai menggagalkan usaha sindiket antarabangsa menggunakan Sabah sebagai laluan transit sebelum bekalan dadah dihantar ke luar negara.
Beliau turut memaklumkan JSJN Sabah melaksanakan 12 operasi Op Bayu sejak Januari hingga 30 Julai lalu dengan hampir empat tan dadah dirampas sepanjang tempoh itu.
Menurutnya, semua suspek yang ditahan dalam Op Bayu 1 hingga Op Bayu 9 telah didakwa di mahkamah, manakala suspek bagi Op Bayu 10, 11 dan 12 masih dalam siasatan.
Katanya, Op Bayu 12 yang dijalankan di Sipitang pada 30 Julai lalu turut membawa kepada rampasan tiga kilogram dadah dan penahanan tiga individu.
Jauteh berkata, PDRM Sabah akan terus memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta orang ramai bagi membanteras penyeludupan dadah.
“Kami memerlukan kerjasama masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat supaya kegiatan penyeludupan dadah dapat dibanteras dengan lebih berkesan,” katanya.

