Empangan Tawau capai 74%, siap sebelum akhir 2027
16:08 Aug 03, 2026  |  By SabahKini2
Empangan Tawau capai 74%, siap sebelum akhir 2027

Beliau berkata, projek itu melibatkan pembinaan Empangan Air Tawau yang akan membekalkan air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 1, LRA Cinta Mata 2 dan LRA Utara.

TAWAU: Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM450.5 juta dijangka menyelesaikan masalah bekalan air yang berlarutan di daerah ini apabila siap sebelum penghujung 2027, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, projek itu melibatkan pembinaan Empangan Air Tawau yang akan membekalkan air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 1, LRA Cinta Mata 2 dan LRA Utara.

Walaupun kontraktor memohon lanjutan tempoh pelaksanaan, beliau berkata kerajaan negeri tetap menyasarkan projek berkenaan disiapkan mengikut jadual menjelang akhir tahun depan.

"Kita mewarisi masalah ini. Masalah ini bukan timbul ketika kerajaan hari ini mentadbir, tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita melakukan yang terbaik dengan menyediakan peruntukan bagi menyelesaikannya demi kemudahan rakyat," katanya selepas melawat tapak pembinaan Empangan Air Tawau dan LRA Cinta Mata 2, hari ini.

Hajiji berkata kerajaan negeri juga bersedia mempertimbangkan tambahan peruntukan sekiranya diperlukan berdasarkan penilaian Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Dalam taklimat kepada Ketua Menteri, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Pengurus Projek JANS Rodney Tinggas berkata pembinaan empangan itu mencapai kemajuan fizikal 74.04% setakat 25 Julai.

Katanya, projek berkenaan merangkumi pembinaan empangan berkapasiti 30 juta meter padu air mentah serta pemasangan paip berdiameter 700 milimeter sepanjang 11.6 kilometer.

Empangan itu akan membekalkan air kepada tiga loji rawatan dengan kapasiti pengeluaran keseluruhan sebanyak 161 juta liter sehari (JLH), selain membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan hilir Tawau.

Hajiji turut diberi taklimat mengenai pembinaan LRA Cinta Mata 2 bernilai RM299.9 juta yang dijadual siap pada 22 Julai 2028.

Loji berkapasiti 30 juta JLH itu kini mencatat kemajuan fizikal 16.08% dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 42,000 pengguna di Tawau serta kawasan sekitarnya.

Ketika ini, Tawau mempunyai 53,133 akaun pengguna air berdaftar dengan pengeluaran semasa sebanyak 130 juta liter sehari, masih belum memenuhi permintaan yang mencecah 142 juta liter sehari.

Comment