KOTA KINABALU: Sabah yakin mampu mencapai sasaran 40 pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 di Selangor hasil persiapan rapi yang dilakukan atlet, jurulatih dan pengurusan kontinjen.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sasaran itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap tahap kesiapsiagaan atlet serta keberkesanan sistem pembangunan sukan yang dilaksanakan secara berterusan.
Menurutnya, kejayaan kontinjen Sabah meraih 29 pingat emas, 36 perak dan 55 gangsa pada SUKMA Sarawak 2024 menjadi asas kukuh untuk meningkatkan pencapaian pada temasya kali ini.
"Saya mahu setiap atlet percaya sasaran ini mampu dicapai. Kita mempunyai bakat, pengalaman dan semangat yang diperlukan. Yang penting, kita turun bertanding dengan keberanian, fokus dan tekad untuk memberikan yang terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sabah sempena SUKMA Ke-22 Selangor 2026 dan Para SUKMA Selangor 2026 di sini pada Selasa.
Hajiji berkata, kontinjen Sabah akan diwakili seramai 943 anggota yang terdiri daripada 744 atlet, 148 jurulatih dan 51 pengurus pasukan serta bakal menyertai 36 daripada 37 acara sukan yang dipertandingkan.
Bagi Para SUKMA Selangor 2026 pula, beliau berkata, Sabah menyasarkan kutipan 66 pingat emas dan berazam merampas semula gelaran juara keseluruhan.
Katanya, kontinjen Para SUKMA membabitkan seramai 271 anggota terdiri daripada 154 atlet, 80 jurulatih dan pegawai serta 37 anggota urus setia.
"Saya menaruh harapan agar sekurang-kurangnya 80 peratus atlet Para SUKMA berjaya membawa pulang pingat," ujarnya.
Dalam pada itu, Hajiji mengingatkan semua atlet supaya sentiasa berdisiplin kerana bakat semata-mata tidak menjamin kejayaan di peringkat tertinggi.
Beliau turut mengingatkan atlet agar tidak mengambil sebarang makanan tambahan atau suplemen tanpa nasihat jurulatih, pegawai perubatan atau pakar bertauliah kerana penggunaan bahan terlarang boleh menjejaskan kelayakan bertanding serta merosakkan kerjaya sukan mereka.
Selain itu, beliau meminta semua pegawai memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan kebajikan atlet termasuk memastikan urusan perjalanan, penginapan, rawatan serta keperluan pertandingan diurus dengan teliti.
Sebagai menghargai pengorbanan atlet dan jurulatih, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan meneruskan kadar insentif kemenangan yang diperkenalkan pada SUKMA Sarawak 2024, termasuk ganjaran RM10,000 bagi setiap pemenang pingat emas.
Beliau turut menyeru seluruh kontinjen Sabah supaya berjuang dengan satu hati dan satu matlamat untuk mengharumkan nama negeri serta membuktikan Sabah mampu bersaing dengan kontinjen terbaik negara.

