KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia, Ajay Sharma, di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Rabu.
Pertemuan itu merupakan yang pertama antara Hajiji dan Ajay Sharma sejak beliau dilantik ke jawatan berkenaan pada April 2025.
Kunjungan tersebut turut menjadi platform bagi Ajay Sharma memperkenalkan diri secara rasmi kepada Ketua Menteri serta membincangkan hubungan antara Sabah dan United Kingdom.
Dalam pertemuan itu, Hajiji mengalu-alukan kehadiran Ajay Sharma ke Sabah dan berharap hubungan sedia terjalin antara kedua-dua pihak dapat terus diperkukuh melalui kerjasama yang memberi manfaat bersama.
Ajay Sharma mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam perkhidmatan diplomatik Britain.
Sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia, beliau pernah berkhidmat sebagai Duta Britain ke Qatar selain memegang beberapa jawatan kanan di Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan United Kingdom.
Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui, serta Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

