AKPS rampas 12 kontena ayam, babi sejuk beku RM3.42 juta
18:08 Aug 07, 2026  |  By SabahKini2
AKPS rampas 12 kontena ayam, babi sejuk beku RM3.42 juta

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata rampasan itu dibuat menerusi Op Ribat Sepanggar Siri 1/2026 susulan operasi yang dijalankan sejak 19 Mei lalu.

KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas 12 kontena mengandungi produk ayam dan babi sejuk beku bernilai RM3.42 juta di Pelabuhan Sepanggar.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata rampasan itu dibuat menerusi Op Ribat Sepanggar Siri 1/2026 susulan operasi yang dijalankan sejak 19 Mei lalu.

Katanya, operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) dan Pihak Berkuasa Pelabuhan.

“Sebanyak 12 kontena dikenal pasti dan diperiksa di Pelabuhan Sepanggar pada 16 Julai lalu.

“Pemeriksaan mendapati semua kontena mengandungi produk haiwan berupa ayam sejuk beku dan babi sejuk beku yang dipercayai dibawa masuk melalui pengikraran yang tidak selaras,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, keseluruhan dagangan berkenaan dianggarkan seberat 348,000kg dengan nilai RM3.422 juta dan dipercayai berasal dari China serta Hong Kong.

Katanya, semua dagangan itu disita bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan tindakan penguatkuasaan diambil mengikut undang-undang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 [Akta 235] kerana disyaki gagal membuat akuan penuh dan benar serta mengemukakan perakuan atau dokumen yang tidak benar dalam perkara material.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, AKPS memandang serius cubaan membawa masuk dagangan secara tidak sah melalui pengikraran palsu atau pelanggaran kawal selia di pintu masuk negara.

Menurutnya, kawalan dan pemeriksaan di semua pintu masuk akan terus diperkukuh menerusi penguatkuasaan bersepadu bersama agensi berkaitan.

“Ia bagi memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara serta pematuhan terhadap undang-undang dapat diperkasakan,” katanya.

Comment