KOTA KINABALU: Jenazah tiga anggota polis yang maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik berhampiran Balai Polis Weston, Beaufort, petang semalam, akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing selepas selesai proses bedah siasat dan dokumentasi di Hospital Queen Elizabeth (HQE), pada Khamis.
Proses bedah siasat bermula jam 8.30 pagi dan selesai kira-kira jam 12 tengah hari sebelum urusan dokumentasi dilakukan bagi membolehkan jenazah dibawa ke destinasi masing-masing.
Jenazah Koperal Chiu Teck Siong akan dibawa ke Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum diterbangkan ke Sarawak.
Sementara itu, jenazah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee akan dibawa ke Masjid Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk disolatkan selepas Maghrib.
Selesai solat jenazah, kedua-dua jenazah akan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebelum diterbangkan ke Kelantan dan Terengganu menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Terdahulu, isteri Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim turut berada di Jabatan Perubatan Forensik HQE bagi menunggu proses pengurusan jenazah selesai.
Beliau yang enggan ditemu bual turut menerima khidmat kaunseling daripada Unit Kaunseling IPK Sabah.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh turut menzahirkan penghargaan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, warga IPK Sabah dan pihak HQE atas bantuan dalam melancarkan urusan pengurusan jenazah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin kawasan Klias dan Lumadan, Datuk Isnin Aliasnih serta Datuk Ruslan Muharam, selain Persatuan Pegawai Rendah Polis Kontinjen Sabah atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.
Menurut beliau, sumbangan ikhlas daripada warga PDRM Sabah turut disampaikan kepada waris ketiga-tiga anggota terbabit sebagai tanda solidariti serta penghargaan atas pengorbanan mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, ketiga-tiga anggota yang bertugas di Balai Polis Weston disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa menggunakan galah besi berhampiran balai berkenaan.

