Tawar khidmat buang sial, sindiket ‘bomoh’ kaut RM600,000
15:08 Aug 14, 2026  |  By SabahKini2
Tawar khidmat buang sial, sindiket ‘bomoh’ kaut RM600,000

Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal tahun ini sebelum kegiatan mereka terbongkar susulan beberapa serbuan di Kota Kinabalu, Penampang, Keningau dan Kota Belud pada Sabtu dan Ahad lalu.

KOTA KINABALU: Sindiket yang menggunakan modus operandi menawarkan khidmat membuang sial dan menilik nasib dipercayai berjaya memperdaya mangsa sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM600,000.

Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal tahun ini sebelum kegiatan mereka terbongkar susulan beberapa serbuan di Kota Kinabalu, Penampang, Keningau dan Kota Belud pada Sabtu dan Ahad lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) berkaitan.

Menurut beliau, seramai 12 individu ditahan dalam operasi berkenaan, terdiri daripada 10 wanita dan dua lelaki.

“Dalam serbuan di Kota Kinabalu dan Keningau pada Sabtu lalu, polis menahan empat individu sebelum operasi diteruskan di Kota Belud pada keesokan harinya.

“Dalam serbuan di Kota Belud, lapan lagi suspek termasuk tujuh wanita warga China ditahan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mohd Azhar berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan alasan menawarkan bantuan berkaitan ubat tradisional, rawatan penyakit atau upacara keagamaan untuk membuang sial bagi mendekati mangsa.

Katanya, suspek kemudian memperkenalkan seorang wanita yang didakwa mempunyai kebolehan menilik nasib, mengubat atau menjalankan upacara tertentu.

“Mangsa kemudiannya dipujuk menyerahkan wang tunai atau barang kemas kononnya untuk tujuan doa, jampi atau upacara agama.

“Wang atau barang kemas itu kemudiannya dilarikan atau ditukar dengan barangan lain yang dimasukkan ke dalam plastik atau beg,” katanya.

Beliau berkata, mangsa turut diarahkan supaya tidak membuka plastik atau beg tersebut dalam tempoh tertentu, dipercayai bagi memberi peluang kepada suspek melarikan diri.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya lima hingga enam kes yang dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Sandakan.

“Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM600,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam operasi sama, polis turut merampas 13 telefon bimbit, 13 kad SIM, tujuh pasport serta wang tunai dalam mata wang Ringgit Malaysia (RM), Renminbi (RMB) dan Baht Thailand berjumlah kira-kira RM20,000.

Polis turut merampas lima kenderaan iaitu Perodua Alza, Proton X50, Toyota Corolla, Toyota Land Cruiser dan Honda HR-V.

Mohd Azhar berkata, suspek bagi kes di Kota Kinabalu direman sehingga 14 Ogos dan siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Pertuduhan bagi kes di Kota Kinabalu dijangka dibuat esok, manakala pertuduhan berkaitan kes di Sandakan dijadualkan minggu hadapan,” katanya.

Comment