KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenal pasti 10 bidang tumpuan utama bagi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini, dengan kepentingan rakyat menjadi keutamaan dalam peruntukan dan dasar yang bakal digariskan.
Menurut Kenyataan Prabelanjawan 2027 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, Belanjawan MADANI kelima akan terus berteraskan tiga tonggak Ekonomi MADANI iaitu Menaikkan Siling, Menaikkan Lantai dan Memacu Pembaharuan Tatakelola.
Antara bidang yang diberi perhatian ialah usaha mengurangkan jurang pembangunan, menangani tekanan kos sara hidup, memperkukuh perlindungan sosial serta meningkatkan mutu pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas.
Kerajaan turut memberi tumpuan kepada memastikan perbelanjaan awam memberikan nilai terbaik kepada rakyat, selain memperbaiki tatakelola dan penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi penggunaan teknologi serta penyepaduan data.
Berikut 10 bidang tumpuan Belanjawan 2027:
- Keadilan sosial dan pembangunan untuk semua
Kerajaan mahu mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah termasuk Sabah, Sarawak, kawasan desa dan pedalaman.
Usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi, belia, wanita serta komuniti rentan turut diberi perhatian.
- Menangani tekanan kos sara hidup
Penambahbaikan subsidi dan bantuan sosial akan diteruskan dengan kerajaan turut menilai beban isi rumah meliputi kos makanan, perumahan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak.
- Memperkukuh perlindungan sosial
Perlindungan melalui KWSP, PERKESO dan skim berkaitan akan dinilai, termasuk bagi pekerja gig dan sektor tidak formal.
Langkah itu turut mengambil kira persediaan menghadapi status Malaysia sebagai negara tua menjelang 2030.
- Pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas
Kerajaan akan memberi penekanan kepada TVET, STEM, kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI).
Dalam sektor kesihatan, usaha mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan asas akan diteruskan.
- Memastikan perbelanjaan awam memberi nilai
Setiap perbelanjaan kerajaan akan lebih berorientasikan hasil bagi memastikan program yang dilaksanakan memberi impak kepada rakyat.
Kerajaan juga mahu mengurangkan ketirisan dalam penggunaan dana awam.
- Memperkukuh tatakelola dan penyampaian kerajaan
Penggunaan GovTech, identiti digital dan penyepaduan data akan diperluas, selain usaha mengurangkan kerenah birokrasi dalam perkhidmatan awam.
- Kebajikan pekerja dan gaji bermaruah
Tumpuan akan diberikan kepada TVET, latihan semula dan peningkatan kemahiran AI, selain usaha meningkatkan produktiviti serta penyertaan wanita dalam tenaga buruh.
- Memperkasa usahawan tempatan
Kerajaan mahu membantu syarikat tempatan berkembang dan menembusi pasaran ASEAN serta global menerusi agenda ‘Made by Malaysia’.
- Menarik pelaburan dan pekerjaan bernilai tinggi
Sektor semikonduktor, AI, ekonomi digital, peralihan tenaga, farmaseutikal, logistik dan aeroangkasa antara bidang yang diberi perhatian bagi menarik pelaburan dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.
- Memperkukuh keterjaminan tenaga, makanan, iklim dan siber
Kerajaan akan memberi tumpuan kepada tenaga bersih, sektor agromakanan, kesiapsiagaan menghadapi bencana serta perlindungan negara daripada ancaman siber.
Kementerian Kewangan berkata kesemua bidang berkenaan masih terbuka untuk diperhalusi berdasarkan maklum balas dan cadangan rakyat.
Portal Belanjawan dibuka mulai 18 Ogos bagi membolehkan orang ramai mengemukakan pandangan serta cadangan mereka menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober.

