TAWAU: Sebanyak 220 liter petrol, 12 tong gas petroleum cecair (LPG) dan 340 kilogram (kg) minyak masak dirampas dalam pemeriksaan di Jalan Inderasabah, di sini, pada Selasa.
Rampasan itu dibuat selepas seorang individu gagal mengemukakan permit atau dokumen kebenaran bagi memiliki barangan kawalan bersubsidi berkenaan ketika diperiksa Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau.
Kes berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.
Menurut KPDN dalam kenyataan pada Rabu, sebuah kenderaan pacuan empat roda turut dirampas, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM104,138.40.
KPDN Tawau turut membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
KPDN dalam pada itu mengingatkan individu dan syarikat supaya sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan serta tidak terbabit dalam sebarang kegiatan penyelewengan barangan kawalan.
“Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” menurut kenyataan itu.
KPDN berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan penyelewengan barangan kawalan.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang bagi memastikan bekalan barangan kawalan bersubsidi sampai kepada golongan yang benar-benar layak.

