PENAMPANG: Teguran terhadap seorang lelaki berhubung bunyi enjin motosikal yang kuat membawa kepada pergaduhan sehingga menyebabkan tiga lelaki cedera di Kampung Muhibbah, Petagas, di sini pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam ketika sekumpulan individu sedang berkumpul dan bermain karom di luar sebuah rumah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia 37 tahun melalui kawasan berkenaan dengan menunggang motosikal yang menghasilkan bunyi enjin kuat.
“Seorang daripada mangsa kemudian menegur suspek sebelum berlaku pertengkaran yang kemudiannya bertukar menjadi pergaduhan. Dalam kejadian itu, tiga lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun mengalami kecederaan akibat penggunaan objek tajam,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sammy berkata, semua mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Balai Polis Putatan berjaya menahan suspek di sebuah kampung di Putatan kira-kira jam 10 malam.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku secara spontan akibat salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas ditegur berhubung bunyi motosikal. Setakat ini, tiada rekod perselisihan atau dendam terdahulu antara suspek dengan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengambil keterangan beberapa saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya. Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau memuat naik imej serta video kejadian yang boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya.

