KOTA KINABALU: Seorang wanita yang sudah berjaya menyelamatkan diri daripada kebakaran di Kampung Darau, Menggatal, dipercayai berpatah balik ke dalam rumah selepas menyedari nenek dan bapa saudaranya masih terperangkap.
Dalam kejadian awal pagi tadi, Nurul Asyiqin Alinor, 29, dipercayai cuba meredah api untuk menyelamatkan Loupin Adow, 67, dan Azman Maduin, 50.
Bagaimanapun, usaha itu tidak berhasil apabila api semakin marak dan menyebabkan ketiga-tiga mereka terperangkap di dalam rumah berkeluasan kira-kira 144 meter persegi berkenaan.
Ketiga-tiga mangsa ditemukan meninggal dunia selepas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 2.10 pagi.
Menurut penduduk kampung, Nurul Asyiqin pada awalnya berjaya keluar dari rumah terbabit sebelum berpatah balik apabila mendapati nenek dan bapa saudaranya masih berada di dalam.
Suami Nurul Asyiqin, 34, turut mengalami kecederaan melecur dalam kejadian itu dan dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 1.43 pagi.
Beliau berkata, seramai 13 anggota dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan operasi pemadaman dan menyelamat.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.10 pagi dan pemeriksaan menemukan ketiga-tiga mangsa dalam keadaan rentung.
“Mayat semua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

