Dua remaja maut lemas ketika mandi di Sungai Pagalan
20:08 Aug 24, 2026  |  By SabahKini2
Dua remaja maut lemas ketika mandi di Sungai Pagalan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus Nidzam Sainkui berkata, mangsa pertama berusia 16 tahun ditemukan pada jam 10.34 pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

KENINGAU: Mangsa kedua dalam kejadian dua remaja lelaki dilaporkan lemas ketika mandi di Sungai Pagalan berhampiran Jeti Feri Pagalan, Jalan Bakti Logam, di sini, ditemukan pada Ahad.

Mangsa berusia 13 tahun itu ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 3.55 petang, kira-kira 80 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus Nidzam Sainkui berkata, mangsa pertama berusia 16 tahun ditemukan pada jam 10.34 pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

“Pasukan PPDA melakukan selaman pertama pada jam 10.30 pagi sebelum mangsa pertama ditemukan empat minit kemudian.

“Pencarian diteruskan sehingga mangsa kedua ditemukan pada jam 3.55 petang, kira-kira 80 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua bermula jam 9 pagi dengan pasukan penyelamat dibahagikan kepada dua sektor.

“Pasukan pertama menjalankan pencarian menggunakan kaedah water surface sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Pasukan kedua pula melakukan pencarian menggunakan kaedah sama dengan bantuan tali sejauh 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya.

Beliau berkata, pencarian turut diperluaskan meliputi permukaan air dan tebing sungai.

Katanya, kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang.

Terdahulu, kedua-dua remaja berkenaan dilaporkan lemas selepas mandi bersama beberapa rakan di sungai tersebut pada petang Sabtu.

Comment