KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu empat jurnal yang diperiksa berkaitan kematian Zara Qairina Mahathir didapati tidak lengkap, termasuk satu jurnal yang kehilangan 64 helaian.
Saksi ke-77, pensyarah dan penyelidik sains forensik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa, berkata jurnal terbabit ialah jurnal hijau ditandakan sebagai W1, jurnal Simple Style Book berwarna ungu (W2), jurnal coklat gelap (W3) dan jurnal Love And Peace berwarna hijau zaitun (WK9).
Beliau berkata, pemeriksaan fizikal mendapati W1 mempunyai 97 helaian berbanding 98 helaian dalam jurnal baharu daripada jenis sama yang dijadikan rujukan, menunjukkan satu helaian hilang atau dikoyakkan.
"W2 pula hanya mempunyai 53 helaian berbanding 96 helaian dalam jurnal rujukan baharu, bermakna 43 helaian hilang.
"W3 mempunyai 77 helaian berbanding 98 helaian dalam jurnal rujukan, menjadikan 21 helaian hilang," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurut Wan Nur Syuhaila, WK9 diterima dalam keadaan lusuh dan koyak serta hanya mempunyai 54 helaian berbanding 118 helaian dalam jurnal baharu daripada jenis sama.
"Ini menunjukkan sebanyak 64 helaian hilang. Kesimpulan saya berdasarkan pemeriksaan fizikal dan rekonstruksi mendapati jurnal W1, W2, W3 dan WK9 berada dalam keadaan tidak lengkap ketika saya menjalankan pemeriksaan," katanya.
Wan Nur Syuhaila yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Kimia Tulen dan Gunaan dari University of Strathclyde, United Kingdom, berkata pemeriksaan lanjut terhadap WK9 turut menemukan bukti pengubahsuaian dan pindaan.
Katanya, helaian kosong di bahagian hadapan asal didapati sudah dikoyakkan, dengan sebahagian helaian asal masih berbaki di bahagian atas kiri.
"Helaian kosong di bahagian belakang kemudiannya dikoyakkan dan ditampal pada kulit hadapan jurnal, meninggalkan kesan bahan asal serta bahagian yang baharu ditampal.
"Penemuan ini menjadi asas kepada kesimpulan bahawa jurnal WK9 sudah melalui proses pengubahsuaian dan pindaan," katanya.
Dalam keterangannya, Wan Nur Syuhaila berkata beliau turut memeriksa jurnal dan helaian kertas berasingan menggunakan kaedah Electrostatic Detection Apparatus (ESDA), iaitu peralatan forensik bagi mengesan kesan tekanan tulisan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Beliau berkata kesan tekanan tulisan dikesan pada halaman 51, 53, 67 dan 100 jurnal W2, namun tiada halaman sepadan ditemui dalam jurnal itu.
Bagi WK9, kesan tekanan tulisan dikesan pada halaman 1, 4, 7, 17, 37, 50, 51 dan 53, namun tiada halaman sepadan ditemukan dalam jurnal berkenaan.
"Kesan tekanan tulisan turut ditemukan pada bahagian dalam kulit hadapan WK9, namun saya tidak dapat mengekstrak atau membacanya menggunakan kaedah ESDA berikutan kekangan teknikal," katanya.
Wan Nur Syuhaila bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau tidak membuat perbandingan tulisan tangan yang ditemukan dengan tulisan mana-mana individu bagi menentukan penulisnya.
Sebaliknya, katanya, analisis tulisan tangan dilakukan pemeriksa dokumen forensik, Tay Eue Kam, menggunakan bahan yang diperoleh daripada pemeriksaannya.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira jam 4 pagi.
Prosiding inkues bersambung jam 2.30 petang ini dengan saksi sama.

