KOTA KINABALU: Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) peringkat negeri 2026 akan diadakan di daerah bagi memastikan program itu lebih dekat dengan masyarakat dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, bersetuju dengan pendekatan itu ketika menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk HPPNS 2026 yang diketuai Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Ruslan Muharam, di Menara Kinabalu hari ini.
Ruslan berkata, Hajiji turut dijemput merasmikan HPPNS 2026 yang akan berlangsung di Tenom dari 23 hingga 25 Oktober, dengan majlis perasmian pada 24 Oktober.
Menurutnya, acara itu dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung.
“Ketua Menteri amat bersetuju supaya sambutan HPPNS dibawa ke daerah kerana pendekatan ini memberi peluang kepada peniaga setempat, selain memudahkan petani, penternak dan nelayan membawa hasil mereka untuk dipamerkan serta dipasarkan,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran di daerah juga membolehkan masyarakat setempat menikmati program berkenaan, sekali gus merancakkan kegiatan ekonomi dan perniagaan di kawasan terbabit.
Ruslan berkata, pemilihan Tenom sebagai lokasi tahun ini turut membuka peluang supaya HPPNS dianjurkan secara bergilir di daerah lain pada masa akan datang.
“Ini termasuk daerah selain Kota Kinabalu, sekali gus memberi peluang lebih banyak komuniti setempat mendapat manfaat daripada penganjuran ini,” katanya.
Selain pameran dan pemasaran hasil, HPPNS 2026 turut menyediakan pelbagai anugerah bagi mengiktiraf pencapaian usahawan tani, penternak dan nelayan yang berjaya.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Setiausaha Tetap MAFFI, Jifrin Mohamad, serta ahli Jawatankuasa Induk HPPNS 2026.

