Saman Fitnah Albert Tei Terhadap SMM Ditolak, Diarah Bayar Kos RM25,000
21:08 Aug 28, 2026  |  By SabahKini2
Saman Fitnah Albert Tei Terhadap SMM Ditolak, Diarah Bayar Kos RM25,000

Hakim Monica Linsua menerusi keputusan pada 21 Ogos turut memerintahkan Tei membayar kos sebanyak RM25,000 kepada SMM.

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menolak saman fitnah yang difailkan ahli perniagaan Albert Tei terhadap Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) selepas beliau gagal membuktikan kenyataan yang dipertikaikan membawa maksud fitnah seperti yang dinyatakan dalam tuntutannya.

Hakim Monica Linsua menerusi keputusan pada 21 Ogos turut memerintahkan Tei membayar kos sebanyak RM25,000 kepada SMM.

Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati Tei berjaya membuktikan dua unsur, iaitu kenyataan berkenaan telah diterbitkan dan merujuk kepadanya. Bagaimanapun, beliau gagal membuktikan unsur penting bahawa kenyataan tersebut membawa maksud fitnah yang diplidkannya.

Tei mendakwa kenyataan berkenaan memberi gambaran bahawa beliau terlibat dalam “kempen lebih luas untuk merosakkan syarikat dan pegawainya”.

Namun, selepas meneliti kenyataan tersebut secara keseluruhan serta mengikut konteksnya, mahkamah memutuskan ia tidak membawa maksud bahawa Tei sendiri terlibat dalam kempen berkenaan.

Antara frasa yang dipertikaikan menyatakan isu tersebut “could be politically motivated” atau mungkin bermotif politik, selain dakwaan berkenaan “may be part of a broader campaign to damage the company and its officers”, mungkin menjadi sebahagian daripada kempen lebih luas untuk merosakkan syarikat serta pegawainya.

Menurut Monica, terdapat perbezaan jelas antara menyatakan sesuatu dakwaan mungkin bermotif politik dengan menuduh Tei terlibat dalam suatu kempen politik.

Penggunaan ungkapan “could be” dan “may be” juga menunjukkan bahawa SMM sekadar menyatakan pandangannya mengenai keadaan yang melatari dakwaan tersebut, bukannya membuat tuduhan muktamad terhadap Tei.

Dalam menentukan maksud sebenar kenyataan itu, mahkamah menggunakan ujian objektif dengan menilai keseluruhan kenyataan, konteks penerbitannya dan bagaimana ia akan difahami oleh pembaca biasa serta munasabah.

Oleh sebab Tei gagal membuktikan maksud fitnah yang diplidkan, mahkamah memutuskan bahawa pembelaan lain yang dikemukakan SMM tidak perlu dipertimbangkan.

Dalam kenyataan susulan, SMM memaklumkan pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi reputasi syarikat.

Comment