TAWAU: Enam individu berusia antara 20 hingga 39 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Tawau hari ini atas pertuduhan mengedar 659.16 gram dadah jenis MDMA atau ekstasi.
Kesemua mereka turut didakwa memiliki 1.16 gram ketamin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mengedar dadah berkenaan di sebuah rumah inap di Taman Nordin, Jalan Kuhara, kira-kira 4.30 pagi pada 26 Ogos lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengedar kerana ia berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dalam pertuduhan berasingan, keenam-enam tertuduh mengaku bersalah memiliki 1.16 gram ketamin mengikut Seksyen 12(2) akta sama.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Jeffery Kadison.
Kesemua tertuduh sebelum itu ditahan selepas polis menyerbu rumah inap berkenaan yang disewa untuk sambutan hari lahir.
Dalam serbuan itu, polis menemukan pinggan kaca mengandungi serbuk putih disyaki ketamin, selain sekeping kad dan sebatang rokok yang mempunyai kesan dadah berkenaan.
Polis turut menemukan sebuah jag kaca berisi cecair berwarna oren yang disyaki mengandungi ekstasi.

