KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyertai ribuan rakyat pada Sambutan Hari Sabah di Dataran Bandaraya Kota Kinabalu, malam tadi.
Sambutan dimulakan dengan ucapan pengisytiharan oleh Musa sebelum diteruskan dengan upacara menaikkan bendera serta pelbagai persembahan.
Antara acara yang berlangsung termasuk pertunjukan cahaya laser, persembahan koir kumpulan Male-Efficient dan nyanyian daripada artis tempatan.
Program turut menampilkan tayangan montaj khas sebelum diakhiri dengan persembahan lagu Sabah Tanah Airku.
Perarakan bertemakan Hari Sabah turut diadakan sebagai sebahagian daripada sambutan berkenaan.
Musa hadir bersama isterinya, Toh Puan Faridah Tussin, manakala Hajiji ditemani isterinya, Datin Seri Juliah Salag.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sabah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; anggota Jemaah Menteri Negeri dan wakil rakyat.
Sambutan berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran ribuan rakyat Sabah di Dataran Bandaraya.

